Rakyat Untuk Rakyat. Headline Animator

24 Mac 2011

Fitnah Video Lucah- Logikkah Najib Tidak Tahu?


 MUNASABAH atau tidak? Pembikinan dan penayangan klip video seks yang dikaitkan dengan Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim didakwa diselaraskan di peringkat tertinggi kerajaan.

Ini bermaksud projek ini membabitkan Perdana Menteri, Najib Razak, sepupunya, Menteri Dalam Negeri, Hishamuddin Hussein dan unit tertentu dalam Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia.

Cuba renungkan. Memiliki, malah apatah lagi menayangkan video berunsur lucah untuk tontonan orang lain adalah satu kesalahan jenayah di negara ini.


Bagaimanapun sekumpulan lelaki yang diketuai oleh seseorang yang mahu dikenali sebagai Datuk T boleh menawarkan pratonton khas kepada sebilangan wartawan kanan tempatan di sebuah hotel mewah di ibu negara tanpa “gangguan” polis.

Mungkin ketika itu polis belum dapat maklumat. Bagaimanapun Menteri Dalam Negeri selang beberapa jam tayangan video kepada wartawan itu dibuat segera membuat penafian bahawa polis terbabit dalam pembikinan dan penayangan video lucah itu.

Pun begitu, mungkin boleh diterima kenyataan Hishamuddin bahawa beliau memang baru menerima maklumat dan meminta sesiapa yang terbabit atau rasa teraniaya untuk membuat laporan polis.

Semalam Anwar membuat laporan polis di Balai Dang Wangi Kuala Lumpur. Hishamuddin memberi jaminan satu pasukan siasatan khas yang bertanggungjawab terus kepada Ketua Polis Negara ditubuhkan. Namun ketelusan pasukan ini meragukan.

Sepatutnya mengambil kira kecekapan Polis Diraja Malaysia, identiti Datuk T hari ini sudah boleh diketahui umum. Apakah payahnya untuk polis menyiasat dengan pihak hotel siapa yang membuat tempahan di Carcosa Seri Negara pada 21 Mac lalu?

Mengandaikan polis sudahpun mengenalpasti Datuk T, adakah lelaki misteri itu sudah menyerahkan video berkenaan untuk siasatan lanjut? Tentu polis sudah tahu kandungan dan kini sepatutnya sudah mendapatkan salinan asal video untuk dibuat ujian forensik ke atas barang kes itu.

Rakyat mahu tahu hasil siasatan polis dari minit ke minit. Kes ini membabitkan maruah dan keluhuran sistem politik negara. Menteri, Perdana Menteri terutamanya, tidak wajar mengambil kesempatan untuk memperpanjangkan siasatan hanya untuk mempalit lumpur ke atas maruah Ketua Pembangkang dan Pakatan Rakyat.

Namun seperti lazimnya, Umno dan Barisan Nasional akan memerah seberapa banyak dividen politik daripada kes seumpama ini untuk tujuan kemenangan politik dalam saingan dengan Pakatan Rakyat yang semakin kukuh kewibawaan dan kemampuannya di mata rakyat.

Dilihat dari perspektif ini salahkah Anwar dan Pakatan Rakyat untuk merumuskan bahawa Datuk T mendapat kerjasama atau sekurang-kurangnya laluan mudah daripada pihak berkuasa untuk menyebarluaskan video lucah berkenaan?

Motif? Adalah terang dan nyata. Bagi yang jahil politik tentu akan dapat menyimpulkan bahawa jika Anwar disibukkan dengan kes ini, tentu payah untuk beliau beri tumpuan untuk menumbangkan Barisan Nasional di Sarawak dalam pilihanraya 16 April depan.

Yang tidak munasabah dan tidak dijangka oleh mereka yang menggerakkan projek jelek ini ialah identiti mereka dapat dikenalpasti kurang 48 jam dari pendedahan video seks ini.

Hari ini Ahli Parlimen Sungai Petani, Johari Abdul mendedahkan siapa mereka. Bekas Ketua Menteri Melaka, Rahim Thamby Chik, bekas tukang urut sukan dan kini ahli perniagaan besar, Shazryl Eskay Abdullah.

Tempahan hotel dibuat atas nama Risda di mana Rahim Thamby Chik adalah pengerusinya. Yang menarik, Johari Abdul dipujuk meninggalkan Parti Keadilan Rakyat oleh Rahim.

Johari disaran mengajak beberapa ahli parlimen PKR lain untuk menonton dan turut keluar parti; keselamatan dan imbuhan kewangan yang lumayan ditawarkan.

Memang agak munasabah bagi Rahim Thamby Chik memilih Johari sebagai sasaran utama dalam projek meminggirkan Anwar. Beliau dan gerombolannya mencongak bahawa soal pertalian persaudaraan Johari dengan Shuaib dan secara tidak langsung Shafie Afdhal akan memudahkannya meragut umpan politik Umno.

Ternyata makar atau rancangan jahat manusia ada hadnya. Walaupun Hishamuddin beria-ia benar menyatakan polis tidak terbabit dan akan menubuhkan pasukan siasatan khas, kini khalayak umum sudah maklum siapa yang menggerakkan projek video ini.

Rakyat ingin tahu apakah tindakan yang akan diambil oleh polis selepas mendapat maklumat Johari ini.

Polis dan akhirnya Hishamuddin wajib menyiasat pendedahan Johari ini. Semua pelaku yang disebut dalam gerakan ini ada motif. Rahim masih berdendam kerana kehilangan jawatan Ketua Menteri Melaka pasca kes jalin hubungan seks dengan gadis sekolah 14 tahun.

Rahim anggap Anwar melalui anak-anak buahnya yang “mengenakannya”.

Maka dia dikatakan terbabit mengatur Khalid Jafri untuk menerbitkan buku “50 Dalil Mengapa Anwar tidak boleh menjadi Perdana Menteri” untuk melempiaskan dendamnya terhadap Anwar.

Silap Rahim ialah kebencian terhadap Anwar terlalu memuncak dalam jiwanya sehingga tidak sabar menonjolkan identitinya kepada Johari.

Shazryl Eskay pula sudah biasa dapat imbuhan besar bagi kerja-kerja politiknya. Di antara projek raksasa yang dikurniakan kepadanya ialah Projek Jambatan Bengkok Johor Bahru Singapura.

Anwar ada maklumat lengkap mengenai projek lain beliau; maka adalah lebih tenang dan senang baginya jika Anwar tidak sampai menakluki Putrajaya.

Jika Shuaib Lazim, bapa mertua Naib Presiden Umno, Shafie Afdhal terbabit, munasabahkah dikatakan beliau tidak tahu dengan skim jahat ini?

Sementara jika sepupunya ada maklumat mengenai projek busuk ini, munasabahkah Najib Razak, Perdana Menteri Malaysia pula akan mengaku tidak mengetahuinya? Siapakah yang akan mendapat manfaat jika Anwar kali ini benar-benar tersungkur?-Editorial TVSNews

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...