"Saya ingatkan Menteri Dalam Negeri, jangan guna laporan polis untuk tutup kesalahan mereka dan gugat kerjaya saya dalam politik"- Anwar
Menurut Anwar, video palsu itu tidak mungkin didedahkan tanpa penglibatan Najib, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Rais dan pihak atasan polis.
“Pihak atasan polis, Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri tahu tentang perkara ini (tayangan) dan membiarkan ia berlaku,” kata Anwar ketika sidang media selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis (IPD) Dang Wangi tengahari tadi.
Anwar yang kebiasaanya ceria, hari ini kelihatan serius sewaktu memberikan beberapa sebab, mengapa beliau mengatakan video tersebut merupakan konspirasi jahat pihak atasan bagi menjatuhkan karier politiknya dan menyekat kemaraan Pakatan Rakyat.
“Pertama ia anjuran cara terbuka kepada wartawan, editor kanan dan mereka ditayangkan secara terbuka video lucah. Bolehkah di negara ini, di Carcosa Sri Negara dan beberapa tempat lain tayangan video lucah diadakan, yang merupakan jenayah berat,” kata Anwar.
Jangan guna laporan polis untuk tangkap saya- Anwar
Anwar seterusnya mengingatkan polis agar tidak menggunakan laporan yang dibuatnya sebagai alasan untuk menangkapnya seperti yang berlaku sewaktu kes Fitnah pada 1998 dahulu.
“Pada tahun 1998, kita buat laporan polis, kita yang didera.
“Saya ingatkan Menteri Dalam Negeri, jangan guna laporan polis untuk tutup kesalahan mereka dan gugat kerjaya saya dalam politik,” kata Anwar dengan tegas.
Anwar juga sempat menempelak Najib dan Hishammuddin yang cuba ‘cuci tangan’ dari awal-awal lagi menafikan penglibatan mereka walau pun siasatan polis belum dilakukan.
“Najib dan Hishamuddin semalam menafikan mereka terlibat. Kenapa apologetik?,” tanya Anwar.
Anwar juga tidak menolak video fitnah terbaru ini direka cipta kerana pihak tertentu yang menjadi dalang di sebalik kes Fitnah II menjangkakan mereka akan kalah dalam kes itu.-KeadilanDaily
Tiada ulasan:
Catat Ulasan