Kebelakangan ini, gendang perang perkauman hangat dipalu tanpa henti oleh para pemimpin UMNO. Kedengaran di perhimpunana Agung UMNO dan juga Himpunan Perdana Pekida Malaysia, suara yang ingin ‘menggegarkan’ bangsa Melayu dengan pelbagai amaran, kononnya masa depan kekuasaan politik Melayu sedang dicabar dan ingin dihapuskan. Gambaran yang segelap mungkin dilakarkan oleh para ‘pemimpin Melayu’ ini dengan bertujuan menghasilkan persepsi bahawa sekiranya UMNO/BN dijatuhkan dan PR berkuasa; lebih-lebih lagi sekiranya di peringkat Pusat, maka alamatnya Melayu akan turut terpupus di bumi sendiri.
MELAYU ATAU UMNO YANG TERCABAR?
Pada hakikatnya, yang dicabar adalah kepimpinan UMNO dan juga BN,
BUKAN kepimpinan Melayu! Kepimpinan UMNO dan BN dicabar atas sebab kedurjanaan, pengkhianatan dan tidak amanahnya mereka. Walaupun mereka telah diberi amanah untuk memimpin dan memerintah selama 54 tahun, apa yang telah dihasilkan adalah budaya kepimpinan rasuah, pegampuan dan kronisma. Pemimpin bergelumang dengan maksiat dan kekayaan sedangkan rakyat, terutamanya orang Melayu, hidup terhimpit di kota dan di desa.
Sekiranya seseorang membuat tinjauan pada hujung minggu lepas di persekitaran PWTC, maka dia akan melihat segala jenis kenderaan mewah yang terdapat di muka bumi diguna pakai oleh mereka yang mendakwa diri mereka sebagai ‘pejuang’ bangsa. Tersusun rapi barisan Vellfire, Hummer, Mercedes, BMW, Porsche Cayenne dan berbagai lagi kenderaan mewah milik para ‘pejuang’ ini. Kemewahan ini diketengahkan sebagai bukti ‘pengorbanan’ mereka dalam ‘perjuangan’ yang begitu lama dan ‘sukar’. Yang anehnya, si ‘pejuang’ semakin mewah sambil yang kononnya diperjuangkan terus miskin dan semakin tertekan.
Sekiranya yang dimaksudkan dengan ‘politik Melayu’ adalah politik rasuah, fitnah dan rasis yang bercanggah dengan ajaran dan nilai agama Islam, maka politik jenis itu sememangnya ingin kita tumpaskan. Akan tetapi, adakah politik Melayu bersifat begitu? Bagi UMNO, itulah politik Melayu yang mereka ingin orang Melayu pertahan dan banggakan. Sekiranya ada yang menentang politik yang sedemikian rupa, maka mereka ini dikatakan penentang ‘politik Melayu’! Pada hakikatnya ianya bukan politik Melayu tetapi sebaliknya politik UMNO!
Mereka yang mentakrifkan politik Melayu sebagai politik rasuah, fitnah dan rasis serta ingin terus mempertahankannya pada hakikatnya ingin membunuh masa depan politik Melayu. Lihat sahaja pada wanita UMNO yang mengerumun Shahrizat, menyatakan sokongan mereka terhadap dirinya walaupun beliau terbabit dengan skandal Feedlot Negara. Adakah kepimpinan Melayu sebegitu rupa yang ingin dipertahankan? Di manan maruah dan wawasan kepimpinan yang adil dan bertaqwa di sisi UMNO?
KUASA MUTLAK ADA PADA ORANG MELAYU?
Berkata pemimpin UMNO bahawa di dalam BN, UMNO berkuasa sepenuhnya. UMNO yang dominan dan boleh melakukan apa jua yang UMNO inginkan. Tiada yang boleh menghalang dan itulah bukti politik Melayu berkuasa! Sedangkan dalam PR, parti politik Melayu adalah minoriti dan tiada kuasa, terpaksa akur kepada kehendak DAP menurut mereka lagi.
Hakikatnya sebenarnya keadaan berkuasa secara dominan dan tanpa halangan adalah punca masalah politik Negara. Telah dikatakan berulang kali bahawa “power corrupts and absolute power corrupts absolutely” atau “kuasa merosakkan dan kuasa penuh tanpa batasan merosakkan secara menyeluruh tanpa batasan”. Inilah sebabnya mengapa budaya rasuah, kronisma dan rasis dapat diamalkan oleh UMNO tanpa bantahan. Lihat sahaja pada skandal Feedlot. Tidakkah penyelewengan sebanyak RM 250 Juta itu berlaku tanpa apa-apa tindakan atau hukuman? Malahan ada juga yang berusaha keras mempertahankannya. Melalui pembelaan ini, mereka ingin merosakkan ummat dan bangsa.
Adakah kuasa mutlak diperlukan sekiranya apa yang ingin ditegakkan adalah benar dan adil? Biasanya, yang terpaksa bersandar kepada kekuasaan yang mutlak adalah pemimpin ‘dictator’ dan mereka yang ingin melebar-luaskan kerosakan di atas muka bumi. Maka apabila mereka ingin melaksanakan kezaliman dan ianya dibantah, maka kuasa mutlak digunakan untuk mengalahkan golongan yang membantah.
Sebaliknya, apabila yang ingin ditegakkan adalah benar dan adil, maka sokongan rakan dan rakyat umum akan menentukan ianya terlaksana. Seperti pada zaman Rasulullah (SAW) di mana ummat Islam minoriti pada awalnya di Madinah, namun kepimpinan Baginda (SAW) telah diterima semua atas sebab keadilan Baginda.
ADAKAH KUASA POLITIK MELAYU AKAN HANCUR?
Maka ditanya pula, “adakah dengan hilangnya kuasa mutlak maka akan hilang juga kuasa politik Melayu?” Jawapannya “Tidak”! Yang akan hilang adalah hanya kemampuan melakukan rasuah dan kezaliman! Dan dengan itu akan dibebaskan politik Melayu dari budaya perosak yang telah diasaskan sekian lama oleh UMNO dan BN di kalangan bangsa Melayu. Akan subur seterusnya politik Melayu dengan budaya keislaman yang sebenar, bebas dari rasuah, penyelewengan, kronisma dan rasisma.
Pada hakikatnya dalam PR tiada pihak yang akan mempunyai kuasa mutlak dan oleh itu dasar semak dan timbang (check and balance) akan lebih bermakna. PAS tidak boleh melakukan sesuka hatinya. Begitu juga DAP dan begitulah juga PKR. Semua berkuasa dan apa sahaja yang ingin dilakukan mesti mendapat persetujuan dari semua pihak. Tidak perlu PAS akur pada kehendak DAP atau DAP kepada kehendak PAS. Apa yang diperlukan ialah menentukan sesuatu dasar yang benar dan adil yang akan dipersetujui bersama.
Maka sebagai contoh, sekiranya ada yang ingin mengurangkan jumlah penjawat awam, sepertimana yang didakwa Najib, ianya tidak mungkin dapat dilakukan tanpa sokongan ketiga-tiga parti. Dan sepertimana yang diulangi, PAS dan PKR tidak bersetuju dengan cadangan itu. Begitu juga dengan sebahagian pemimpin DAP.
Sebaliknya, apa yang ingin diusahakan adalah keberkesanan perkhidamatan awam dengan ditingkatkan mutu perkhidmatan. Bukti nyata ialah apa yang dilakukan di bawah kerajaan Negeri PR. Berapa ramaikah kakitangan kerajaan Negeri yang dibuang kalau ada? Jawapannya tidak walau seorang.
Jelas UMNO hanya ingin membohongi bangsa Melayu seperti biasa supaya UMNO kekal berkuasa.
PAS TUNDUK PADA DAP?
Dikatakan juga bahawa PAS terpaksa akur kepada kehendak DAP kerana kalau tidak orang bukan Islam tidak akan mengundi PAS di dalam Pilihan Raya. Maka mereka akan undi siapa? Kalau di Parlimen Shah Alam, sebagai contoh, calonnya dari PAS dan UMNO. Kalau mereka tidak undi PAS, adakah mereka akan undi UMNO? Atau mereka akan mengundi DAP yang tidak bertanding?
Kalau undi DAP maka dikira undi rosak dan sekiranya undi UMNO, maka lagi teruklah akibatnya. Selagi PAS berdiri atas prinsip keadilan Islam dan menghormati hak bukan Islam seperti yang dituntut oleh agama Islam itu sendiri, masyarakat bukan Islam akan terus mengundi PAS. Ini adalah kerana UMNO adalah jauh lagi teruk dan tidak dapat diselamatkan lagi. Dengan merosakkan Melayu, UMNO merosakkan Negara dan masyarakat bukan Islam memahami perkara ini.
Jelas bahawa sekali lagi UMNO ingin membohongi bangsa Melayu dan bukan Melayu.
KEDUDUKAN KUASA POLITIK MELAYU
Sekiranya PR memerintah di Pusat, kerusi perwakilan Melayu di Parlimen akan tetap seperti sekarang iaitu lebih ramai dari yang bukan Melayu, apabila dijumlahkan keseluruhannya iaitu pemerintah dan pembangkang. Oleh itu, tiada undang-undang atau dasar yang merugikan orang Melayu akan dapat diluluskan sekiranya ada yang berniat melakukannya sekalipun. Maka orang Melayu tidak perlu khuatir atau takut akan masa depan mereka.
Dengan itu mereka boleh turut sama dalam usaha membasmi negara dari budaya politik rasuah, kronisma dan rasis yang dijuarai UMNO dan BN. Ini akan membebaskan masyarakat Melayu dari penjajahan minda Melayu yang dilakukan UMNO selama ini sehingga Melayu terpaksa redha dengan rasuah dan penyelewengan ‘pemerintah Melayu’ atas alasan ‘ingin menjaga kuasa politik Melayu’. Dengan itu bangsa Melayu akan sebenarnya bebas.
Dan akan turut berkembang segar politik Melayu selepas itu setelah dibebaskan dari belenggu yang menghimpitnya selama ini; bebas untuk dicorakkan politik Melayu tanpa rasuah dan kronisma; bebas untuk menuju keredhaan illahi.
WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD
Negara ini penuh penipuan dengan cerita-cerita dongeng dan sandiwara oleh golongan politik. Seolah-olah Negara ini milik mak bapak mereka dan bukan milik rakyat. Mereka angkut hasil bumi dalam semua bentuk penipuan untuk kepentingan golongan yang "BERHORMAT". Rakyat ditipu dengan janji-janji manis untuk meraih undi setiap kali pilihanraya. Pemimpin-pemimpin ini seharusnya ditolak oleh rakyat...
Another Templates
11 Disember 2011
Dan tercabarnya kuasa politik Melayu -Khalid Samad
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan