Rakyat Untuk Rakyat. Headline Animator

02 Disember 2011

Akta Himpunan Aman langkah ke belakang dalam demokrasi

“Sebagai sebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi, Malaysia sepatutnya lebih terbuka kepada perhimpunan aman kerana ianya adalah salah satu cara rakyat menyuarakan pandangan dan pendapat mereka.”

Kerajaan Selangor kesal dengan tindakan kerajaan meluluskan Akta Himpunan Aman secara terburu-buru tanpa rundingan dengan pihak-pihak berkepentingan termasuk Pakatan Rakyat mahupun kumpulan-kumpulan masyarakat sivil.

“Rang Undang-Undang Perhimpunan Aman yang dibentang oleh Perdana Menteri hanya akan membawa Malaysia beberapa langkah ke belakang dari segi demokrasi,” kata Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim.


Menurut Khalid lagi, rang undang-undang itu jelas menyalahi semangat demokrasi kerana tidak meraikan kebebasan bersuara.

“Sebagai sebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi, Malaysia sepatutnya lebih terbuka kepada perhimpunan aman kerana ianya adalah salah satu cara rakyat menyuarakan pandangan dan pendapat mereka.”

Justeru katanya, kerajaan Selangor akan menganjurkan forum bagi memastikan rakyat tahu dan jelas akan hak-hak mereka dalam negara demokrasi.

“Bagi memastikan agar rakyat peka terhadap hak demokrasi mereka, Kerajaan Negeri merancang untuk menganjurkan forum bagi menerangkan hak-hak rakyat di sebuah negara yang mengamalkan demokrasi mengikut Perlembagaan.”

Tambahnya, forum ni akan dibiayai sepenuhnya Kerajaan Negeri di bawah Program Pendemokrasian Rakyat dengan peruntukan RM15 juta di bawah Geran Selangorku.

“Kita menjemput pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menghantar cadangan bagaimana forum ini boleh dianjurkan dengan baik dan berkesan.”

“Sebagai kerajaan negeri yang mengamalkan ketelusan dan kebertanggungjawaban, kami tidak akan berdiam diri apabila berdepan dengan cubaan untuk menindas hak rakyat.

Kami menyokong semua usaha sihat untuk memelihara dan menyuburkan prinsip demokrasi serta menentang sebarang agenda yang menyekat kebebasan rakyat bersuara,” katanya lagi.

Akta Himpunan Aman 2011 diluluskan pada 29 November 2011 oleh Ahli Parlimen Barisan Nasional. Ia menghalang sebarang bentuk himpunan aman yang tidak dimaklumkan kepada polis terlebih dahulu.

Akta itu sebelum ini menetapkan notis 30 hari perlu diberikan kepada polis sebelum sebarang himpunan aman berlangsung.

Namun, selepas dibantah ramai pihak, keperluan memberi notis itu dipinda kepada 10 hari sahaja.
Mereka yang terlibat dalam himpunan aman itu pula boleh didenda sehingga RM10,000 seorang.

Pada hari sama ia diluluskan, Majlis Peguam diiringi lebih 1,000 peguam berarak ke Parlimen membantah akta tersebut.-K/Daily

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...