Rakyat Untuk Rakyat. Headline Animator

12 September 2011

Tidak dijajah: Apa pendirian Pemuda Umno


Jika negara tidak pernah dijajah sebagaimana yang didakwa, maka untuk apa Malaysia menyambut ulang tahun kemerdekaan,

Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) mencabar pemimpin Umno, khususnya Pemuda Umno untuk menyatakan pendirian mereka terhadap dakwaan Prof. Zainal Kling daripada Majlis Profesor Negara (MPN) bahawa “Tanah Melayu tidak pernah terjajah, sebaliknya hanya dinaungi atau dilindungi oleh British”.

Ketua DPPM Nasrudin Hassan at-Tantawi berpendapat bahawa kenyataan yang dikeluarkan oleh Prof Zainal Kling tersebut tidak mewakili pendirian seluruh cendekiawan dan ahli akademik tanahair dan ianya perlu disokong oleh fakta dan perbahasan secara ilmiah, khususnya dalam persoalan berkaitan kedaulatan Raja-Raja Melayu dan hubung kait di antara konsep naungan (protectorate), lindungan (protected), kedaulatan (sovereignity) dan kemerdekaan (independence).


“DPPM melihat kenyataan tersebut bukan sahaja membuka ruang perbahasan akademik dan penilaian semua teks sejarah, malah mempunyai implikasi yang lebih besar terhadap status empayar kerajaan British dan negara-negara Komanwel di seluruh dunia,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Di samping itu, katanya kenyataan tersebut turut mengundang begitu banyak persoalan sinis dan gurauan di kalangan generasi muda yang popular dengan lagu “Merdeka” oleh Allahyarham Sudirman dan laungan “Merdeka” oleh Bapa Kemerdekaan negara, Tunku Abdul Rahman.

Tambahnya, DPPM berpendirian bahawa British dan sekutunya telah menjajah secara hakiki Tanah Melayu dan bebarapa lagi negara sepanjang tempoh zaman imperialisme dan kolonisme.

Ini, ujarnya berdasarkan nilai kemerdekaan sebenar, yang terletak pada nilai kebebasan manusia daripada penyembahan sesama manusia.

Ini, jelasnya sebagaimana ungkapan masyhur seorang sahabat Rasulullah s.a.w. yang bernama Rabi’e bin Amir ketika dipanggil mengadap Panglima Parsi, Rustum, dengan pertanyaan “Atas sebab apakah kamu ke sini?”, lantas dijawab, “Allah yang menghantar kami. Dia membawa kami ke sini untuk membebaskan manusia daripada penyembahan sesama manusia kepada hanya menyembah Allah yang Esa, membebaskan manusia daripada kesempitan dunia kepada keluasan dunia dan akhirat, dan membebaskan manusia daripada kezaliman agama-agama kepada keadilan Islam. Dialah yang menghantarkan kepada kami agamaNya yang diciptaNya, untuk menyeru manusia-manusia kepadaNya”.

Katanya, kenyataan Prof. Zainal seperti memperbodohkan negara, pemimpin dan seluruh rakyatnya yang saban tahun menyambut ulangtahun kemerdekaan.

“Jika negara tidak pernah dijajah sebagaimana yang didakwa, maka untuk apa Malaysia menyambut ulang tahun kemerdekaan,” katanya.

Soalnya, bagaimana pula kedudukan silibus pengajian pelajar-pelajar kita di sekolah dari semua peringkat yang mula keliru dengan perbahasan sejarah negara hari ini.

Justeru, ujarnya DPPM amat kesal dengan sikap Umno dan Pergerakan Pemuda Umno yang berdiam diri dalam persoalan ini dan ternanti-nanti pengisian program Pentas Patriot yang akan dianjurkan oleh pihak Pergerakan Pemuda Umno untuk mengenang jasa tokoh kemerdekaan negara.-Hrkh

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...