Rakyat Untuk Rakyat. Headline Animator

17 September 2011

Najib cuba raih populariti dengan mansuhkan ISA

Pengumuman Datuk Seri Najib Razak berkaitan pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) terpaksa dilakukan Perdana Menteri itu bagi memulihkan popularitinya yang merudum kebelakangan ini.

Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Pusat, Shamsul Iskandar Mat Akin juga percaya ia sebahagian semboyan awal pilihan raya umum (PRU) yang bakal disempurnakan melalui pembentangan Belanjawan 2012.

Beliau menyifatkan ‘keberanian politik’ itu terhasil rentetan merudumnya populariti Najib mutakhir ini yang menyaksikan sokongan popular Perdana Menteri itu merosot daripada 76 peratus pada Mac lalu, Mei (73 peratus) dan Ogos (59 peratus).


“Tahniah kerana secara tidak langsung mengiktiraf melalui pencurian idea Pakatan Rakyat (PR) dan pejuang hak asasi Malaysia khususnya secara ‘bergaya’ melalui pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

“Bagaimanapun, banyak persoalan timbul berbanding menyelesaikan polemik penafian hak asasi manusia khususnya tahanan-tahanan ISA sebelum ini,” katanya.

Shamsul juga mempersoal pengumuman Najib berkaitan tempoh tahanan polis yang dikatakan lebih pendek dan melibatkan sistem kehakiman, walaupun tanpa mereformasikannya secara menyeluruh.

“Perubahan dan kajian semula ini mungkin tidak bermakna kerana persepsi rakyat kepada kredibiliti sistem kehakiman yang parah.

“AMK pelik mengapa kajian semula ini dilakukan tanpa melakukan reformasi sistem kehakiman secara total.

“Tidak perlu pergi jauh. Kes Datuk Seri Anwar Ibrahim cukup membuktikan dakwaan ini ada asas yang konkrit. Apa guna mahkamah diberi kuasa jika sistem kehakiman bertindak di bawah pengaruh kuasa Eksekutif?” katanya.

Beliau turut mempertikai kajian semula Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984, yang akan dilakukan pembaharuan sedangkan akta itu, sepatutnya dimansuh terus.

“Apakah rasional kajian semula Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 iaitu prinsip pembaharuan tahunan akan dihapus dan digantikan dengan pengeluaran lesen sehingga dibatal?

“Jika kerajaan percaya kepada kebijaksanaan rakyat, seharusnya akta itu dimansuh terus dan prinsip pengeluaran lesen juga tidak perlu,” katanya.

Shamsul turut persoalan kajian semula Seksyen 27 Akta Polis 1967 mengenai kebebasan berhimpun.

“AMK mahu jaminan Najib bahawa kebenaran berhimpun harus dipermudah dengan penghapusan permit yang tidak munasabah,” katanya sambil merujuk standard antarabangsa iaitu perhimpunan aman dikawal polis secara profesional.-K/Daily

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...