Rakyat Untuk Rakyat. Headline Animator

25 September 2011

Bersih gesa lapan tuntutan sebelum PRU 13


 Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil menggesa kerajaan menunaikan lapan tuntutan dalam usaha melakukan reformasi pilihan raya, sebelum mengadakan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13.
Ahli Jawatankuasa Bersih 2.0, Maria Chin Abdullah menegaskan, pilihan raya tidak harus diadakan sebelum Jawatankuasa Khas Terpilih Parlimen (PSC) dibentuk.
“Jika Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak benar-benar ikhlas untuk melakukan transfomasi politik di negara ini, beliau perlu menunaikan tuntutan kami sebelum mengadakan pilihan raya.

“Jika tidak, ia ibarat cakap-cakap kosong. Malah penubuhan Jawatankuasa Khas Terpilih Parlimen juga tidak membawa apa-apa makna kepada pembaharuan pilihan raya di negara ini,” katanya pada sidang media di ibu pejabat Bersih di sini.
Menurut Maria, Bersih bersedia untuk bekerjasama dengan PSC bagi memastikan hak dan kepentingan rakyat dipenuhi.
Bagaimanapun katanya, jawatankuasa itu perlu telus dalam melaksanakan pembaharuan tersebut dan menerima maklum balas daripada rakyat.
Pada perhimpunan 9 Julai lalu, Bersih  mengemukakan lapan tuntutan iaitu pembersihan senarai pengundi, reformasi sistem undi pos, penggunaan dakwat kekal, tempoh berkempen minimum 21 hari, akses media yang adil dan telus, memperkukuhkan institusi awam, menghentikan rasuah dan politik kotor.
PSC dianggotai lima ahli Parlimen kerajaan Barisan Nasional (BN), tiga pembangkang dan 1 bebas dijangka  memulakan tugas melakukan penambahbaikan sistem pilihan raya sedia ada.
Rabu lalu, Pakatan Rakyat yang diketuai Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan kesediaan menyertai PSC bagi melihat sejauh mana komitmen perdana menteri melakukan reformasi pilihan raya.
Semalam, Muhyiddin mengumumkan nama lima Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) yang akan menganggotai jawatankuasa itu.





Sementara itu, Dr Subramaniam Pillay yang juga ahli jawatankuasa Bersih mengumumkan  Bersih akan melancarkan kempen ‘Tunaikan 8 Tuntutan, Barulah PRU -13′ di Dewan Perhimpunan Cina KL Selangor di ibu negara pada 30 September ini.
“Kempen ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran rakyat Malaysia mengenai lapan tuntutan untuk reformasi pilihan raya dan sebagai peringatan kepada kerajaan supaya menunaikan perkara ini sebelum PRU ke-13,” jelasnya.-K/Daily

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...