Rakyat Untuk Rakyat. Headline Animator

07 Julai 2011

30,000 ahli PAS Johor ke himpunan Bersih 2.0


Pemuda PAS Johor akan mengerahkan lebih 30 ribu ahli dan penyokong untuk hadir secara beramai-ramai ke Perhimpunan Bersih 2.0 yang akan diadakan di Stadium Merdeka, Sabtu ini.

Mereka tidak perlu bimbang untuk hadir kerana himpunan itu bukan himpunan haram, sebaliknya himpunan halal yang dilindungi oleh Perkara 10 Perlembagaan Malaysia dan tidak bertentangan dengan Akta Polis 1967.

Ketua Pemuda PAS Johor, Suhaizan Kaiat (gambar) berkata, tambahan pula, Jawatankuasa Bersih 2.0 tidak perlu mendapat permit daripada pihak polis untuk mengadakan perhimpunan dalam stadium kerana kawasan tersebut adalah kawasan persendirian.


Menurut beliau yang juga Pengerusi Pemulihan Demokrasi Dan Mobilisasi Rakyat Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP), ini telah jelas dinyatakan dalam seksyen 27A Akta Polis 1967 (Akta 344) dan yang perlu dipohon adalah kebenaran pemilik stadium sahaja.

Katanya, Pemuda PAS menjunjung kasih kepada Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin yang telah berkenan mengadakan pertemuan dengan Jawatankuasa Bersih 2.0 pada 5 Julai lalu.

"Rakyat jelata bersyukur atas keprihatinan Tuanku memberi nasihat berguna kepada semua pihak dan Tuanku sendiri telah berjanji akan menyampaikan segala tuntutan Bersih 2.0 kepada pihak kerajaan," katanya dalam kenyataan kepada Harakahdaily, hari ini.

Pertemuan itu juga, menurut beliau, merupakan pengiktirafan Tuanku terhadap Bersih 2.0 untuk menuntut suatu pilihanraya yang bersih dan adil di negara tercinta ini.

Beliau berkata, sebelum ini Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussin telah menuduh Bersih 2.O adalah pertubuhan haram, dikaitkan dengan fahaman komunis dan dituduh sebagai golongan yang mahu mencetuskan suasana huru hara dalam negara.

Atas tuduhan itu, pihak polis telah menangkap lebih daripada 100 orang, melarang ceramah Bersih, mengeledah rumah suspek, membuat sekatan jalan raya, melarang memakai baju kuning dan lain-lain lagi.

"Pemuda PAS mendesak Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussien menarik balik segala tuduhan tersebut kerana ia adalah tuduhan yang serius dan telah menyebabkan suasana tidak selesa di kalangan rakyat negara ini.

"Jika tuduhan ini tidak ditarik maka seolah-olah telah berlaku komplik di antara nasihat Yang di-Pertuan Agong dengan arahan Menteri Dalam Negeri. Rakyat merasa keliru terhadap masalah ini," tegasnya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abd Razak pun telah memberi kebenaran bersyarat untuk mengadakan perhimpunan di stadium. Pihak Bersih 2.0 pun telah bersetuju dengan cadangan pihak kerajaan.

" Jika Menteri Dalam Negeri tidak menarik balik tuduhan terhadap Bersih 2.0 maka Menteri Dalam Negeri juga telah berkomplik dengan Perdana Menteri.

"Selain itu, semua pihak termasuk media dan pertubuhan-pertubuhan tertentu yang telah melebelkan Bersih 2.0 akan mengadakan perhimpunan haram hendaklah menarik balik tuduhan tersebut," katanya.-Hrkhdaily

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...