Rakyat Untuk Rakyat. Headline Animator

04 Mei 2011

Umno terdesak, cuba dapatkan talian hayat dari Pas- Azmin



Ketika Najib dan Umno merasa kedudukannya kuat dan selesa, mereka hina pimpinan Melayu dari Pakatan Rakyat.
Bila Umno merasa lemah dan ketika parti MIC dan MCA menuju kehancuran, barulah mereka teringatkan kepada pemimpin Melayu Pakatan Rakyat.


Sikap Umno-Barisan Nasional yang mengamalkan dasar perkauman sempit dan politik kotor tidak akan memungkinkan penyatuan parti itu dengan Pas mahupun KEADILAN, kata Timbalan Presiden KEADILAN, Azmin Ali.

Menurutnya, Umno kini semakin terdesak untuk mendapatkan sokongan Melayu dengan cuba memecahbelahkan perpaduan dalam Pakatan Rakyat khususnya antara Pas dan KEADILAN.

“Nampak sangat Umno kelemasan, nazak dan cuba mendapatkan talian hayat dari Pas untuk menerus kesinambungan politik mereka. Agenda mereka bertentangan dengan ajaran agama Islam.


“Tetapi, Pakatan Rakyat tidak naif dalam politik. Apatah lagi Pas, mereka telah berulang kali ditipu. Sehinggakan Mursyidul Am, Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat merujuk pesanan Rasulullah, supaya janganlah kita dipatuk oleh ular yang sama, dari lubang yang sama,” kata Azmin ketika ditemui selepas Mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat KEADILAN, di ibu pejabat parti itu semalam .

Beliau memberikan reaksi demikian berhubung rayuan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak kepada Pas baru-baru ini supaya keluar Pakatan Rakyat, meskipun tidak mahu menyertai Barisan Nasional.

“Bukan setahun dua, tetapi lebih 20 tahun hak rakyat Kelantan yang majoritinya adalah orang Melayu Islam dihina, diketepikan dan dipingiirkan. Kita bukannya nak bersatu padu dengan perompak dan lanun.

“Persoalan yang dibangkitan mutakhir ini oleh Umno bertujuan kononnya menyatupadukan umat Islam dan Melayu, tetapi asasnya tidak jelas. Ketika Najib dan Umno merasa kedudukannya kuat dan selesa, mereka hina pimpinan Melayu dari Pakatan Rakyat.

“Bila Umno merasa lemah dan ketika parti MIC dan MCA menuju kehancuran, barulah mereka teringatkan kepada pemimpin Melayu Pakatan Rakyat,” kata Azmin.

Pendapat tersebut dikongsi bersama Pengerusi Majlis Pimpinan KEADILAN Terengganu, Azan Ismail yang berkata, masalah dalaman Umno kini cuba diselesaikan dengan cara melibatkan pihak luar.

“Terbaru, Najib terpaksa datang ke Terengganu dan bermesyuarat secara tertutup untuk menyelesaikan masalah mereka. Umno Terengganu kini berpecah kepada tiga,iaitu kumpulan Idris Jusoh, kumpulan Ahmad Said dan terbaru, kumpulan pro-konspirasi.

“Perkara ini bukan lagi rahsia dan orang ramai sudah mengetahuinya. Apatah lagi dalam keadaan bekas Pengerusi Umno Terengganu, Hishamuddin Hussein meninggalkan Umno Terengganu kepada Ahmad Said dalam keadaan yang masih tidak menentu.

“Tidak hairanlah kalau Najib mengambil pendekatan dengan cara mengalihkan permasalahan sebenar kepada perhatian ‘merayu’ dan ‘melamar’ Pas,” kata Azan.

Justeru, beliau mengingatkan kepada seluruh aktivis, penyokong dan jentera Pakatan Rakyat supaya fokus kepada agenda perjuangan.

“Di mana-mana sekarang ini, sentimen untuk berubah itu ada. Kita ada tanggungjawab dan tugasan dan jangan terperangkap denga isu yang dimainkan oleh Umno dan Barisan Nasional,” kata Azan.-k/daily

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...