Negara ini penuh penipuan dengan cerita-cerita dongeng dan sandiwara oleh golongan politik. Seolah-olah Negara ini milik mak bapak mereka dan bukan milik rakyat. Mereka angkut hasil bumi dalam semua bentuk penipuan untuk kepentingan golongan yang "BERHORMAT". Rakyat ditipu dengan janji-janji manis untuk meraih undi setiap kali pilihanraya. Pemimpin-pemimpin ini seharusnya ditolak oleh rakyat...
Another Templates
06 Mei 2011
Mat Zain gesa Putrajaya tubuh suruhanjaya diraja siasat A-G
Kerajaan perlu menubuhkan suruhanjaya diraja untuk menyiasat peguam negara dan bekas ketua polis negara, yang tindakan mereka didakwa telah menghakis keyakinan rakyat ke atas institusi pendakwaan dan penyiasatan, kata bekas pegawai polis Datuk Mat Zain Ibrahim.
Mat Zain berkata kesalahan-kesalahan yang didakwa melibatkan Tan Sri Abdul Gani Patail (gambar) dan Tan Sri Musa Hassan terhadap keadilan awam “adalah terlalu besar untuk dimaafkan.”
“Kesalahan-kesalahan mereka sama ada dilakukan berasingan atau dengan niat bersama telah memberi kesan parah yang mendalam dan jangka panjang terhadap sistem keadilan jenayah negara.
“Malah tindakan mereka berdua telah memusnahkan keyakinan rakyat, bukan sahaja terhadap Polis Diraja Malaysia, malahan terhadap Jabatan Peguam Negara sendiri,” kata beliau dalam surat terbuka terbaru dihantar kepada Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar, yang diedarkan kepada media hari ini.
Bekas ketua polis Kuala Lumpur itu yang pernah menulis beberapa surat terbuka kepada Ismail berhubung siasatan dan proses pendakwaan berkaitan kes Datuk Seri Anwar Ibrahim 12 tahun lalu termasuk insiden mata lebam berkata, beliau berpendapat demi keadilan awam sendiri, Ismail selaku Ketua Polis Negara yang baru perlu membawa syor diadakan suruhanjaya siasatan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
“... supaya suruhanjaya diraja siasatan atau satu tribunal dibentuk menyiasat dakwaan ini secara telus dan menyeluruh serta 'once and for all'.
“Jika fakta-faktanya dibentangkan kepada beliau secara jujur dan teratur, saya yakin YAB Perdana Menteri tidak akan menghampakan rakyat,” katanya lagi.
Musa merupakan pegawai penyiasat ketika kes Anwar muncul pada 1998 manakala Gani pula anggota pasukan pendakwaan.
Kedua-dua mereka kemudian mengetuai polis dan Jabatan Peguam Negara.
Dalam hubungan ini, Mat Zain berkata, apapun tanggungjawab dan pendirian polis menyiasat sesuatu kes jenayah itu walau berapa lama pun telah berlaku, wajar dikekalkan.
“Walaupun kesalahan-kesalahan jenayah Gani dan Musa didakwa berlaku 12 tahun lalu, tidak bermakna yang ia boleh dilupakan begitu sahaja atau 'swept under the carpet',” katanya sambil merujuk kepada peruntukan tiada sekatan masa untuk sesuatu kes jenayah itu disiasat secara terperinci.
Contoh terbaik boleh dijadikan sandaran kata beliau, ialah kes bunuh beramai-ramai di Batang Kali pada 1948 dan kerajaan telah menyatakan persetujuan untuk menyiasatnya pada 1993.
“Sekiranya dalam kejadian pembunuhan beramai-ramai Batang Kali1948 telah memusnahkan nyawa 24 orang tempatan, insiden keruntuhan Highland Towers 1993 pula mengorbankan 48 orang, perbuatan Gani dan Musa sejak 1998 telah memusnahkan keseluruhan sistem keadilan jenayah negara.
“Sekiranya tidak ditangani dengan telus dan menyeluruh, rakyat akan mengungkitnya selama mana rakyat mengungkit tragedi Batang,” katanya.
Dalam suratnya Mat Zain berkata, sejak dua minggu ini orang ramai nampaknya bertambah lantang mengecam dan mengutuk tentang cara polis menangani isu video lucah yang dikatakan melibatkan Anwar.
“Malahan terdapat mereka dengan secara terbuka dan berani mengeluarkan kata-kata kesat dan lucah terhadap pucuk pimpinan polis.
“Melihat tindak tanduk dan kenyataan umum yang dibuat oleh polis sendiri, dan diperbesarkan oleh media, kita tidak dapat menyalahkan rakyat jika berpendirian sedemikian,” katanya lagi.
Secara peribadi kata Mat Zain, beliau merasakan polis terlalu menurut karenah Peguam Negara seolah tidak bebas bertindak sendiri.
Katanya, “sebagai seorang pesara yang mengetahui sedikit sebanyak asal usul isu dalam persoalan, saya berasa sedih dan khuatir sejarah lama akan berulang dan pisang akan berbuah dua kali.”-TMI
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan