Rakyat Untuk Rakyat. Headline Animator

23 Januari 2012

Tukang karut Umno sempitkan perjuangan Islam


Ruang Perjuangan dan perlaksanaan Islam tidaklah sesempit pemikiran Umno dan tukang karut terbarunya, kata Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar.

"Wadah untuk memperjuang dan memartabatkan Islam hampir tiada batas sempadan, tidak kira di masjid atau di padang bola.

"Cakap-cakap kecewa tukang karut Umno yang terbaru benar-benar memperlekehkan Islam apabila ia menggambarkan maruah umat Islam terpaksa bergantung dan menempel atas sesuatu jawatan," kata beliau.

Malah, tegas Mahfuz, Islam boleh dimartabatkan tanpa mengira apa jua bidang yang diamanahkan.


"Bagi yang tidak berfikiran sempit, Islam boleh diperjuang dan dimartabatkan tidak kira dalam hal ehwal belia, sukan, pendidikan, pengajian tinggi, pembangunan modal insan, perumahan, pengurusan bangunan, pengurusan setinggan malah apa sahaja bidang.

"Tetapi kalau otak dan pemikiran masih lagi dalam acuan pemikiran jumud Umno walaupun mendabik dada kononnya pejuang aqidah seolah-olah hancur musnahlah aqidah semua orang tanpa beliau, tentulah Islam dan perjuangan memartabatkannya dilihat dari pemikiran yang sempit dan jumud," kata Ahli Parlimen Pokok Sena.

Menurut Mahfuz, orang yang melihat Islam sebagai ajaran suci yang mencakupi semua ruang dan bidang, sentiasa memohon perlindungan dari Allah agar tidak mengeluarkan cakap-cakap tidak menggunakan akal yang menyesatkan orang lain.

"Tetapi, dengan pemikiran sempit ajaran Umno, keluarlah cakap-cakap menyesatkan kononnya maruah dipijak kerana tidak dapat memegang portfolion hal ehwal Islam.

"Sedangkan orang yang memijak-mihak maruahnya sendiri ialah orang tidak puas-puas mendedahkan sisi-sisi buruk dan jelik dirinya sendiri," kata beliau.

Bagaimanapun, kata Mahfuz, apa yang berlaku itu menjadi pengajaran kepada semua pihak agar ikhlas memperjuangkan Islam.

"Bila kita memperjuangakan Islam, berusahalah untuk mengikhlaskan diri, tidak gila talak kerana tidak dapat jawatan lalu menjadi pengacau kerana sakit hati tidak mendapat jawatan yang diidam-idamkan seperti jawatan menteri besar dan sebagainya.

"Bagi melindungi sebab sebenar membuat kacau, pengacau sentiasa berubah-ubah alasannya membuat perangai, mula-mula dia mendakwa puncanya perkara ini, kemudian perkara itu dan selepas itu perkara yang lain pula.

"Hampir setiap hari bertukar-tukar sebab dan punca beliau menggelupur," katanya.

Mahfuz juga merasa geli hati melihat Umno berpesta di dalam media-medianya seperti orang mabuk seolah-olah mendapat "tangkapan yang lumayan".

"Kalau Umno ingat ia sudah mendapat tangkapan yang lumayan sebasgai modal kempennya, ia tentu amat menggelikan hati kerana apa yang dapat dicekup oleh Umno itu sudah ditolak oleh akar umbi sehingga tidak mendapat pencalonan dari akar umbi untuk terus menjadi wakil mereka," katanya.

Bagaimanapun, Mahfuz yakin Umno akan tetap "terkinja-kinja keseronokan dengan apa yang dicekupnya itu" walaupun menjadi bahan ketawa orang ramai.-Hrkhdly

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...