Rakyat Untuk Rakyat. Headline Animator

15 Januari 2012

Peserta konvensyen ikrar bina Malaysia baru


Stadium Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah, di sini, hari ini, bergema dengan ikrar para pemimpin dan penyokong Pakatan Rakyat.

Dengan diketuai Penolong Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan dan ditemani Penolong Setiausaha Agung PKR, Rosli Abdullah dan Teresa Kok dari DAP, mereka bersama-sama membaca Ikrar Pakatan Rakyat yang berbunyi:

"Bahawasanya kami, Dengan menginsafi bahawa asas keadilan dan demokrasi semakin runtuh di bumi Malaysia; Dan menginsafi bahawa rakyat Malaysia semakin dinafikan hak dan terus menerus dipinggir daripada mengecapi kekayaan negara.


"Maka kami, para pendukung Pakatan Rakyat dengan penuh iltizam berikrar akan menjunjung cita-cita murni membina sebuah Malaysia baru yang demokratik, adil dan berkebajikan. Dengan ini, kami berjanji:


"Pertama: Akan mempertahankan Perlembagaan Persekutuan dan Dasar-Dasar Bersama Pakatan Rakyat;


"Kedua: Akan menumpukan sepenuh usaha dalam meningkatkan mutu perkhidmatan kepada rakyat;


"Ketiga: Akan memperkukuhkan kerjasama di kalangan anggota-anggota parti kompenan Pakatan Rakyat.


"Keempat: Akan terus memperkasa jati diri dan menghindari segala sogokan yang menyokong ke arah mengkhianati Pakatan Rakyat;


"Kelima: Akan tetap menjunjung harapan rakyat ke arah membina sebuah negara yang demokratik, adil dan berkebajikan.
'Bahawasanya kami dengan ini berikrar akan tetap setia bersama perjuangan Pakatan Rakyat demi rakyat Malaysia".
Sebaik sahaja bacaan ikrar sekitar jam 3.15 itu berakhir, Takiyuddin, Rosli dan Teresa bersama-sama menyerahkan kad bacaan ikrar kepada kepimpinan tertinggi parti masing-masing di pentas utama.

Bagi pihak PAS, kad tersebut diterima oleh Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, manakala PKR oleh Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah Ismail dan DAP diterima oleh Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Ketika ikrar dibacakan, puluhan pemuda Pakatan Rakyat turut membentuk barisan tersendiri dengan membawa dan mengibarkan bendera-bendera kesemua negeri di Malaysia.-Hrkhdly

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...