Rakyat Untuk Rakyat. Headline Animator

31 Januari 2012

Rasiskah DAP kerana membela rakyat, mendedah penyelewengan UMNO-BN?

Saya bangga walau pun terpaksa dipenjarakan dalam perjuangan menentang ketidakadilan terhadap sebuah keluarga miskin Melayu di Melaka.

“Adakah mana-mana pemimpin BN pernah ke penjara kerana memperjuangkan hak Melayu atau bukan Melayu? Kalau ada pun pemimpin BN yang dipenjarakan, ia adalah kerana penyelewengan dan rasuah dan bukan kerana memperjuangkan rakyat.”

Demikian kata-kata Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng sebagai menjawab fitnah dan tohmahan lidah rasmi UMNO, iaitu Utusan Malaysia, apabila mendakwa kononnya DAP adalah parti paling rasis di dunia.

“Ini menunjukkan betapa kecewanya mereka kerana makin ramai Melayu sudah tidak percaya dalam UMNO dan Utusan sehingga mereka menyertai DAP.


“Utusan Malaysia sudah kehilangan kredibiliti, malahan di kalangan Melayu, apabila akhbar itu telah didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi Pulau Pinang dan diarahkan untuk membayar RM200,000 kerana memfitnah saya sebagai anti-Islam dan anti-Melayu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya DAP bangga dengan rekod memperjuangkan hak semua rakyat Malaysia termasuk Melayu, Cina, India, Kadazan, Iban dan Orang Asli, dan kerana itu, sudah makin ramai orang Melayu tidak percaya kepada pembohongan para pemimpin UMNO dan penipuan Utusan tentang DAP.

Beliau yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang berkata keputusan mahkamah terhadap Utusan juga membuktikan bahawa DAP dan beliau sendiri tidak bersifat anti-Melayu atau anti-Islam.

Sebaliknya, beliau menjelaskan, peruntukan, bantuan kebajikan dan usaha murni untuk orang Melayu dan Islam di Pulau Pinang telah ditingkatkan berkali-kali ganda berbanding dengan pentadibran BN.

Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan menjelaskan bahawa serangan Utusan itu berpunca daripada kenyataan balas Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang kepada Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek yang telah menyeru agar masyarakat Cina terus menyokong BN.

“Kenapa tidak salah apabila Chua menyeru kepada masyarakat Cina untuk bersatu menentang perubahan, tetapi salah apabila Kit Siang menyeru supaya masyarakat Cina untuk bersatu untuk menukar kerajaan dengan menyokong PR?

“Adakah DAP itu sebuah parti rasis kerana meminta supaya tindakan diambil terhadap kes rasuah seperti permintaan untuk menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja mengenai skandal RM250 juta “lembu dan kondo” yang melibatkan keluarga seorang Menteri Kabinet?

“Adakah DAP itu rasis kerana menyerang UMNO yang tidak mengambil sebarang tindakan terhadap mereka yang bertanggungjawab atas kehilangan saham Bumiputera berjumlah RM52 bilion yang sepatutnya diberikan kepada orang Melayu miskin yang tidak menerima walau satu saham pun?

“Adakah DAP itu rasis kerana mempersoalkan konsesi lebuh raya Banting-Taiping selama 60 tahun dan berjumlah RM7.07 bilion kepada Kumpulan Europlus Bhd yang dimiliki seorang bukan Melayu?” soal beliau.

Beliau menambah bahawa Utusan Malaysia sudah tidak relevan lagi apabila orang Melayu pun sudah tidak percaya dalam fitnahnya.

Guan Eng juga membidas Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyddin Yassin kerana menggelar DAP cauvinis sedangkan DAP adalah parti berbilang kaum yang terbuka kepada semua rakyat Malaysia.

Menurutnya Muhyiddin tidak berhak menuduh DAP kerana Timbalan Presiden UMNO itu sendiri sudah mendabik dada mengumumkan bahawa beliau adalah “Melayu dahulu, rakyat Malaysia kemudian”.

Katanya keengganan Muhyiddin untuk mengutuk Utusan Malaysia kerana menggambarkan tragedi rusuhan Mei 13 yang mengakibatkan kematian beribu-ribu rakyat Malaysia sebagai “hari keramat” jelas menunjukkan siapa sebenarnya yang bersikap cauvinis dan rasis. – Roketkini.com

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...