Rakyat Untuk Rakyat. Headline Animator

07 Disember 2010

Pendakwaan Rasuah Khir Toyo, Jangan ada Agenda Politik Hanya Untuk Baiki Imej Umno

Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berharap pendakwaan terhadap Khir Toyo atas tuduhan rasuah tidak berpaksi kepada agenda politik Umno semata-mata.

Beliau berkata pihak yang mengamalkan rasuah dan menyalahgunakan kuasa harus diheret ke mahkamah demi mendapatkan keadilan.

Ini bagi memastikan mereka yang salah tidak mengulangi perbuatan itu di samping member keinsafan kepada semua pihak.

Namun pada masa sama, Tan Sri Khalid berkata pendakwaan terhadap Khir Toyo tidak dilakukan hanya untuk memperbaiki imej Umno.

” Saya berharap mereka-mereka yang menyalahgunakan kuasa atau rasuah akan mendapat keputusan yang terbaik oleh mahkamah supaya menjadi satu halangan kepada semua yang ingin mencubanya kemudian. Saya (juga) harap ini bukan sebagai satu drama hanya untuk menunjukkan bahawa Umno sudah mula bertaubat dan membersihkan orang-orang mereka,” kata Khalid.


Kebimbangan Tan Sri Khalid dan pemimpin lain berpaksi kepada hakikat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebelum ini turut mengheret beberapa “jerung” ke mahkamah tetapi gagal mensabitkan tuduhan rasuah ke atas mereka.

Antara mereka ialah bekas Menteri Tanah dan Pembangunan Koperasi Tan Sri Kasitah Gadam dan Pengerusi Perwaja Tan Sri Eric Chia.

Kasitah dibebaskan pada tahun 2009 manakala Eric Chia terlepas dari hukuman pada tahun 2007.

Hakim dalam kedua-dua kes menegur pendakwaan kerana gagal memanggil saksi-saksi penting, sehingga menjadikan kes terhadap dua tokoh itu rapuh.

Khir Toyo dan pengarah Ditamas Sdn Bhd, Shamsuddin Haryoni dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini atas tuduhan rasuah. Kedua-duanya mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan tersebut.

Khir Toyo, 45, didakwa berhubung pemilikan dua lot tanah dan sebuah rumah mewah di Seksyen 7, Shah Alam.

Beliau didakwa mendapatkan untuk dirinya dan isteri Datin Seri Zahrah Kechik, 45, suatu barang berharga dengan suatu balasan yang beliau ketahui tidak mencukupi iaitu dua lot tanah dan sebuah rumah yang terletak di alamat no 8 & 10, Jalan Suasa 7/1 L, Shah Alam, daripada Ditamas Sdn Bhd melalui pengarah Ditamas, Shamsuddin Hayroni, dengan harga RM3.5 juta, sedangkan hartanah itu telah dibeli oleh Ditamas pada 23 Disember 2004 dengan harga RM6.5 juta.

Khir Toyo didakwa melakukan kesalahan itu di kediaman rasmi menteri besar Selangor, di Jalan Permata 7/1, Seksyen 7, Shah Alam, pada 29 Mei 2007.

ADUN Sungai Panjang merangkap Ketua Pembangkang DUN Selangor itu didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.-S/Keadilan





Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...