Rakyat Untuk Rakyat. Headline Animator

05 Disember 2010

Harga Barang Naik, Potong Subsidi Rakyat, Syarikat Kroni UMNO Yang Untung Malah Rakyat Tak Dapat Apa-Apa

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menyelar Umno-Barisan Nasional(BN) kerana terus menaikkan harga barangan keperluan seperti petrol dan gula tetapi enggan mengurangkan subsidi untuk syarikat-syarikat kroni.

Syarikat-syarikat penjana tenaga persendirian atau IPP umpamanya terus menikmati subsidi gas yang tinggi manakala rakyat dipaksa menanggung kenaikan harga petrol RON95 untuk kali kedua dalam tempoh enam bulan.

Selain petrol, turut dinaikan harga adalah gula (20 sen) diesel dan petroleum gas cecair, masing-masing lima sen.

Anwar berkata amalan Umno-BN melindungi syarikat-syarikat korporat besar yang diberi lesen IPP amat merugikan rakyat.

“Walaupun kerajaan sebelum ini berjanji untuk memotong subsidi yang diberikan kepada syarikat-syarikat IPP milik kroni, ia tidak di lakukan,” kata Anwar.

“Anehnya, setiap pemotongan subsidi yang dilakukan oleh kerajaan setakat ini hanya membabitkan barang keperluan asas yang menambah beban kewangan rakyat,” tambah beliau.


Semalam kerajaan mengumumkan harga petrol Ron95, diesel dan petroleum gas cecair dinaikan lima sen manakala gula dinaikan 20 sen.

Anwar berkata tren kenaikan harga petrol jelas menunjukkan bahawa kerajaan berhasrat mengurangkan subsidi setiap enam bulan, sekali gus meningkatkan harga petrol kepada RM2.10 seliter dalam tempoh setahun dari RM1.90 sekarang.

Anwar kesal kerana kerajaan memotong subisidi untuk rakyat dan bukannya kemudahan yang diberikan kepada syarikat IPP dan sektor-sektor lain.

Najib berkata agensi PEMANDU yang ditubuhkan oleh Perdana Menteri Najib Razak sendiri menjangka kerajaan dapat menjimatkan RM1.12 bilion ringgit tahun ini jika subsidi untuk IPP dan sektor lain dikurangkan.

Pada masa sekarang, kerajaan, menerusi Petronas menghulurkan subsidi RM19 bilion kepada IPP dan syarikat berkenaan setiap tahun.

“Perdana Menteri dan kerajaan pimpinannya harus menjelaskan kenapa ia amat tekun untuk menarik balik subsidi bagi petrol, gula dan LPG yang tentunya memberi tekanan kepada rakyat berpendapatan rendah, namun syarikat korporat yang kaya-raya dikecualikan dari tindakan sedemikian,” tegas Anwar.

Anwar kesal kerana kerajaan Umno-BN begitu ghairah menjimat RM126 juta hasil pemotongan subsidi terbaru rakyat membabitkan kenaikan harga gula tetapi sanggup membayar RM131 juta ringgit kepada perunding-perunding asing.-S/Kini

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...