Rakyat Untuk Rakyat. Headline Animator

17 Disember 2010

Gara-Gara Takut Dengan Anwar, Najib Rela Demokrasi Dikuborkan, Tragedi Hitam Parlimen Malaysia

Ahli Parlimen Pakatan Rakyat menyifatkan kejadian menggantung empat ahli parlimen pembangkang oleh Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia sebagai sejarah hitam dalam Parlimen Malaysia

Justeru Pandikar disalahkan kerana memperlihatkan sikap memihak kepada kerajaan Umno-Barisan Nasional(BN) dalam membuat keputusan menentang pakatan pembangkang.

Ahli Parlimen Gombak, Azmin Ali yang ditemubual Tv Selangor selepas kekecohan menyifatkan Umno-BN menggunakan kuasa majoriti dewan untuk memanipulasi pencabulan dan kelemahan kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

"Ini satu tragedi hitam dalam Parlimen Malaysia di mana kegagalan Umno menjawap persoalan-persoalan yang mendepani rakyat pada hari ini tetapi menggunakan kuasa majoriti di dalam dewan untuk menutup kelemahan dan pencabulan yang dilakukan pemimpin Umno," kata beliau kepada wartawan Tv Selangor.

Sebelum ini dalam perbahasan di parlimen, Azmin mengingatkan agar ketua institusi-institusi tertinggi negara mengambil sikap berkecuali daripada pengaruh politik justeru mengekalkan sistem keadilan yang mampu dirujuk masyarakat.


Namun pada ketika ini menurut beliau, Pandikar telah pun tergolong dalam kumpulan yang 'dibeli' oleh Umno-BN demi mengecapi hasrat politik parti itu.

"Saya mengingatkan supaya tidak mahu Speaker juga dibeli oleh Umno-BN. Tetapi daripada perwatakan beliau pada hari ini yang secara terang melanggar peratura dewan menyakinkan kita bahawa apa yang saya andaikan sebelum ini adalah benar," jelas Timbalan Presiden PKR itu.

Tambah Azmin lagi, kepentingan politik Umno-BN menggunakan Speaker mengenepikan peraturan mesyuarat memberi peluang kepada Pakatan Rakyat untuk menjelaskan kepada masyarakat bagaimana demokrasi berparlimen di Malaysia dicabuli sewenang-wenangnya.

Justeru beliau menyeru agar rakyat memandang serius kejadian ini dan mengambil pendekatan untuk menolak kerajaan sedia ada demi menyelamatkan negara.

"Maka saya berpendapat pilihan yang ada pada PR untuk turun dan menjelaskan kepada mereka betapa rosaknya sistem yang ada sekarang dan sudah sampai masanya untuk rakyat berani dengan tegas bersatu untuk ubah sekarang bagi menyelamatkan negara Malaysia," katanya.

Ditanya wartawan Tv Selangor sekiranya tindakan menggantung ahli-ahli parlimen Pakatan Pembangkang untuk mendapatkan suara majoriti 2/3 pada persidangan akan datang. Azmin menjelaskan.

"Dalam sistem Parlimen Malaysia yang dianggap 'kangaroo court' ini, semua boleh berlaku. Kita lihat bagaimana Speaker sering menggunakan alasan keputusan muktamad, ini tafsiran sendiri. Beliau boleh tafsir apa sahaja walaupun mengikut kefahaman kita dan peraturan yang sedia ada, 2/3 itu adalah jumlah kerusi yang kita ada dalam kerusi parlimen.

"Bukan daripada jumlah yang hadir setelah ditolak mereka yang digantung. Ini bergantung kepada tafsiran 'kangaroo court' ataupun dewan yang tidak mengikut peraturan. Namun bagi saya kita akan menjelaskan rakyat," tambah beliau.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkefli Ahmad juga kesal dengan peranan Speaker yang tidak berfungsi dengan baik selain integriti yang cukup tercalar.

Ujarnya, Pandikar harus membaikpulih kewibawaan parlimen agar tidak dipandang remeh oleh masyarakat.

"Hari ini jelasnya wibawa dan fungsi parlimen Malaysia khususnya Dewan Rakyat sudah pun terjejas. Justeru kerana fungsi dan watak Yang diPertua itu yang sudah tidak dapat berperanan sebagai Yang diPertua yang menguruskan tadbiar perbahasan dan rang undang-undang dengan adil.

"Jadi ini satu sejarah hitam yang amat malang dalam institusi parlimen di negara ini. Saya membayangkan wajar Tan Seri Pandikar segera memanggil dan membaikpulihkan keadaan ini," katanya.TVSNews

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...