KEADILAN menempelak tindakan keluarga Datuk Seri Shahrizat Jalil untuk mengheret pemberi maklumat semata-mata menutup penyelewengan Perbadanan Fidlot Kebangsaan (NFC).
Pengarah Strateginya, Rafizi Ramli berkata, tindakan itu bertentangan dengan kenyataan sebelum ini bahawa mereka tidak berdendam dengan sesiapa kecuali beliau.
“Saya letakkan tanggungjawab ini kepada Shahrizat, sebab sebelum ini (Pengerusi NFC, Datuk Seri) Salleh Ismail pernah berkata, akan berbincang dengan keluarganya berkenaan apa tindakan yang akan dibuat.
“Ini jelas menunjukkan penglibatan Shahrizat dalam hal ini,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat KEADILAN tengahari tadi.
Turut hadir, Naib Presiden, N Surendran dan Johari Mohamad iaitu salah seorang pemberi maklumat mengenai pembelian hartanah mewah keluarga Shahrizat di KL Eco City, Bangsar.
Johari yang bekerja sebagai kerani di Public Bank bakal dikenakan tindakan di bawah Akta Bank dan Institusi Kewangan (Bafia) 1989, ekoran pendedahannya pada 16 Februari lalu.
Susulan itu, Mohamad Salleh membuat aduan kepada Bank Negara Malaysia (BNM) pada 26 April lalu bagi mengheret Rafizi dan Johari kerana mendedahkan butiran perbankan peribadi berkenaan.
Johari akan melapor diri di BNM pada 2.00 petang ini dengan ditemani peguamnya, Latheefa Koya dan Fadiah Nadwa Fikri.
Sementara itu, Surendran mendesak kerajaan menggugurkan siasatan terhadap Johari dan menumpukan perhatian terhadap skandal NFC.
Beliau turut membidas Akta yang melindungi ‘perompak’ sedangkan pihak yang mendedahkan penyelewengan dikenakan tindakan.
“Bagaimana kerajaan mahu melakukan transformasi dalam membanteras rasuah di peringkat akar umbi sedangkan mereka yang mendedahkan rasuah dikenakan tindakan,” katanya.-Keadilandaily
Tiada ulasan:
Catat Ulasan