Rakyat Untuk Rakyat. Headline Animator

15 Mei 2012

Nor Yakcop, Umno tak perlu undi bukan Melayu -Lim Guan Eng

Menteri dalam Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Nor Mohamed Yakcop tidak berbeza dengan Perkasa kerana menggunakan sahutan perkauman “Ketuanan Melayu” dengan ugutan dan taktik ketakutan bahawa Malaysia akan kembali kepada tahun 1511 jika BN kalah dalam pilihan raya umum ke-13. 1511 adalah tahun kejatuhan kesultanan Melaka kepada kuasa Portugis dan permulaan penaklukan kuasa asing di Malaya.

Tan Sri Nor menggunakan tahun 1511 untuk menyokong dakwaan palsunya bahawa pembangkang tidak mempunyai kebolehan untuk menerajui agenda bumiputera. Perbandingan ini adalah salah kerana Portugis merupakan kuasa asing manakala pilihan raya umum ke-13 akan ditentukan oleh rakyat Malaysia. Ironiknya, sepatutnya PR yang menuduh BN dan Suruhanjaya Pilihan Raya atas kehadiran pengundi hantu yang diragui, termasuk warga asing yang didaftarkan sebagai pemilih, yang berupaya untuk memainkan peranan yang penting dalam pilihan raya yang akan datang.


Adalah jelas bahawa sekiranya BN mengekalkan kuasa dalam pilihan raya umum yang akan datang, hitam akan menjadi putih dan putih akan menjadi hitam seperti yang ditunjukkan oleh New Straits Times dan Utusan Malaysia yang terpaksa meminta maaf kerana menyiarkan berita palsu.

Dengan menggunakan agenda perkauman bumiputera dalam pilihan raya umum yang akan datang, Tan Sri Nor dan UMNO telah memberi isyarat yang kuat bahawa mereka tidak mempedulikan pengundi bukan Melayu. UMNO dan Tan Sri Nor menggunakan agenda bumiputera sebagai satu-satunya agenda untuk memenangi pilihan raya umum, dengan mengatakan bahawa Pulau Pinang adalah contoh di mana orang Melayu telah terpinggir.

Cabar Tan Sri Nor Untuk Menyatakan Program-Program Apa Di Bawah Kerajaan Negeri BN Dahulu Untuk Orang Melayu Yang Telah Dibatalkan Oleh Kerajaan Negeri PR.

Kerajaan negeri PR Pulau Pinang mencabar Tan Sri Nor untuk menyatakan jumlah orang Melayu yang telah terpinggir di bawah pentadbiran PR. Bolehkah Tan Sri Nor menyenaraikan program-program yang telah dilaksanakan oleh mantan Ketua Menteri Tan Sri Dr Koh Tsu Koon yang telah dibatalkan oleh kerajaan negeri PR? Sekiranya Tan Sri Nor gagal untuk membuat demikian maka beliau tidak berbeza dengan Perkasa kerana menggunakan taktik umpan-perkauman dan taktik ketakutan.

Hakikatnya bukan sahaja bantuan kebajikan diteruskan, malah PR telah meningkatkannya kepada tahap yang tidak pernah dicapai oleh kerajaan negeri BN selama 50 tahun. Lebih daripada RM50 juta telah dibelanjakan untuk melaksanakan dan meningkatkan bantuan kewangan daripada RM100 setahun untuk warga emas, OKU, ibu tunggal serta pelajar-pelajar Tahun 1 & 4, Tingkatan 1 & 4. Tambahan juga, kerajaan negeri PR memberi pinjaman mikro-kredit kepada golongan miskin dan ibu tunggal, serta bayaran RM1,000 sekali sahaja untuk waris warga emas dan pelajar-pelajar daripada isi rumah yang berpendapatan kurang daripada RM4,000 yang berjaya diterima IPTA serta RM200 untuk setiap bayi baru lahir.

Yang paling mengkagumkan, Pulau Pinang telah berjaya membasmi miskin tegar dalam satu tahun, di mana BN telah gagal selama 50 tahun, dengan memastikan bahawa setiap isi rumah mempunyai pendapatan sekurang-kurangnya RM600 sebulan. Menjelang 2015, Pulau Pinang akan menjadi negeri pertama untuk membasmi kemiskinan sama sekali.

Walaupun apabila kontrak kerajaan negeri diberi melalui tender terbuka berdasarkan faktor-faktor harga paling baik, kualiti dan pengurusan, 70% daripada kontrak telah dimenangi kontraktor Melayu. Ini adalah pengurangan jika dibandingkan dengan 100% yang diberi kepada kroni UMNO, tetapi dari segi nilai, kontraktor-kontraktor Melayu yang tulen telah bermanfaat jika dibandingkan dengan kerajaan dahulu.

Sebabnya adalah kerana kerajaan negeri PR telah meningkatkan perbelanjaan untuk program-program sosial dan infrastruktur sebanyak 55% daripada RM1,387 juta selama 4 tahun 2004-7 kepada RM2,142 juta di bawah pentadbiran PR selama 4 tahun dari 2008-2011. Sebagai contoh, peruntukan negeri Pulau Pinang untuk projek jalanraya, di mana hampir 100% telah dimenangi oleh kontraktor Melayu, telah ditingkatkan daripada RM10.25 juta pada tahun 2007 kepada RM42.6 juta pada tahun 2012. Dan pada tahun 2012, peruntukan paling besar dalam sejarah Pulau Pinang untuk hal-ehwal agama Islam iaitu RM64 juta telah diluluskan.

Dengan bermain emosi dan sentimen dan mengabaikan fakta dan logik, Tan Sri Nor menunjukkan bahawa beliau tidak berbeza dengan Perkasa. Di Pulau Pinang, Perkasa dibenarkan untuk memukul dan mencederakan wartawan, bukan sekali tetapi dua kali di Jambatan Pulau Pinang pada bulan Julai tahun lepas dan pada 26 Februari semasa perhimpunan anti-Lynas di Padang Kota Lama. Tiada tindakan telah diambil ke atas ahli-ahli Perkasa dan UMNO yang ganas. Pada 10 Mei 2012, Perkasa telah dibenarkan oleh polis untuk melakukan upacara pengebumian Hindu di depan pintu rumah saya di Pulau Pinang.

Jika Tan Sri Nor berjaya untuk menggunakan ketakutan tahun 1511 dengan pendekatan perkauman agenda bumiputera dan ketuanan Melayu, maka ia akan menandakan penguburan demokrasi, harmoni kepelbagaian kaum dan budaya serta 1Malaysia!- Hrkhdaily

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...