Rakyat Untuk Rakyat. Headline Animator

05 Mei 2012

Najib wajib jawab rasuah Scorpene – Saifuddin



Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak wajib menjelaskan tindakannya meminta bayaran AS$1 bilion (RM3 bilion) berhubung skandal pembelian kapal selam Scorpene.

Setiausaha Agung KEADILAN, Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata, tuntutan bayaran itu merupakan jenayah rasuah dan ia dibuat untuk kepentingan pemimpin Umno itu dan syarikat Perimekar milik kroninya.

“Tiga point penting di sini, pertama, menunjukkan ketidakupayaan agensi seperti SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) dan polis menyiasat skandal ini secara terbuka dan telus hanya kerana ia melibatkan Najib dan kroninya.


“Berbanding agensi sama di Perancis yang berjaya mengesan skandal ini yang jelas bertentangan dengan undang-undang di negara berkenaan,” katanya dihubungi Keadilan Daily.

Beliau mengulas pendedahan Suara Rakyat Malaysia (Suaram) bahawa Najib semasa menjawat Menteri Pertahanan meminta RM3 bilion untuk syarikat Perimekar daripada DCNI – anak syarikat pembuat kapal Perancis DCNS sebagai syarat bertemu beliau pada 14 Julai 2001.

Kedua katanya, dokumen itu mengesahkan penglibatan Najib dalam skandal itu dan ia hanya satu daripada 153 dokumen yang didedahkan setakat ini.

“Rakyat tidak mempertikai pembelian kapal selam kerana ia amat diperlukan kerana negara kita memiliki sempadan seperti Selat Tebrau dan Laut Cina Selatan tetapi yang kita pertikai ialah proses pembelian.

“Najib mungkin boleh lepas di Malaysia kerana beliau berkuasa menekan agensi kerajaan, namun pasti gagal di peringkat antarabangsa,” tegas beliau.

Ketiga pula jelas Saifuddin, apa yang didedah Pakatan Rakyat mengenai skandal Scorpene selama ini adalah benar dan menjadi kewajipan Najib untuk menjawabnya.

“Maka menjadi tugas rakyat juga untuk membuat pilihan pada pilihan raya umum kali ini sama ada mahu mengekalkan Najib selaku PM atau tidak.

“Malaysia kini menjadi tumpuan dunia ekoran penglibatan Najib dalam skandal rasuah dan ini sangat memalukan negara kerana pemimpinnya sanggup meminta rasuah demi kepentingan diri dan kroni,” katanya.

Najib sebelum ini enggan memberikan komen ketika ditanya mengenai kes perbicaraan rasuah Scorpene oleh wartawan, malah memendekkan sidang media di Universiti Sains Malaysia, 21 April lalu.

Beliau ditanya sama ada akan memberi keterangan dalam perbicaraan itu.
Bagaimanapun, sidang media yang tidak sampai 10 minit itu segera ditamatkan.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...