Rakyat Untuk Rakyat. Headline Animator

14 April 2012

Pendidikan percuma termasuk kos sara hidup – Anwar



Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pendidikan percuma yang bakal dilaksana Pakatan Rakyat jika diberi mandat sebagai kerajaan baru merangkumi pemberian kos sara hidup kepada mahasiswa di negara ini.

Beliau menjawab soalan seorang mahasiswa yang bertanyakan perkara itu dalam wacana politik bertajuk “Pendidikan Percuma: Adakah Satu Mimpi?” di Shah Alam malam tadi.

“Kalau setakat beri yuran percuma, itu bukan pendidikan percuma, itu namanya yuran percuma dan apabila saya sebut pendidikan percuma, ia bermakna kos sara hidup turut diberi dan ini merangkumi penginapan percuma
.

“Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) ini bukan isu pokok, isu besar ialah pendidikan percuma dari peringkat rendah hingga ke universiti bertemakan ‘pendemokrasian akses kepada pendidikan berkualiti’ dan bukan setakat membatal PTPTN sebagaimana dimanipulasi Utusan Malaysia dan TV3,” katanya.

Beliau turut menempelak pemimpin Umno yang mendakwa kononnya mahasiswa Melayu akan terpinggir jika dasar pendidikan percuma dilaksanakan.

“Kita mahu laksana dasar pendidikan percuma difitnah kononnya membankrapkan negara, pemimpin besar yang ‘mentekadarah’ wang rakyat berbilion ringgit diangkat pula konon perjuang orang Melayu.

“Apabila kita laksana pendidikan percuma ia turut dimanfaatkan bukan setakat Dayak, Kadazan, Iban atau Cina miskin, malah Melayu juga turut mendapat faedahnya,” tegasnya.

Pendidikan percuma tanggungjawab Kerajaan Pusat

Mengenai soalan tentang sebab kerajaan Selangor pimpinan Pakatan Rakyat tidak membatalkan PTPTN di institusi pengajian tinggi yang dimiliki negeri itu, beliau menegaskan ianya di bawah kuasa kerajaan persekutuan.

“Kita kena faham pendidikan ini di bawah bidang kuasa kerajaan persekutuan manakala urusan lain seperti air umpamanya di bawah kerajaan negeri dan di Selangor kita sudah laksana pemberian air percuma sejak diberi mandat memerintah pada 2008,” katanya yang juga merupakan Penasihat Ekonomi Selangor.

Turut serta, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kota Anggerik, Yaakob Sapari, Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Seri Ir Nizar Jamaluddin, pimpinan mahasiswa dan lebih 1,000 mahasiswa pelbagai kaum.

Anwar turut menasihatkan mahasiswa agar jangan terlalu memikirkan isu PTPTN terlalu terperinci kerana isu utama yang jelas kini ialah Pakatan Rakyat bersedia menawarkan dasar pendidikan percuma.

Berbanding pentadbiran Datuk Seri Najib Razak katanya, yang hanya menakutkan rakyat kononnya Malaysia bakal muflis walhal di bawah kerajaan Umno ratusan bilion wang rakyat dibazirkan samada melalui salah guna kuasa, tiris dan rasuah.-K/Daily

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...