Rakyat Untuk Rakyat. Headline Animator

08 April 2012

Jika pemimpin ditangkap rakyat tetap berhimpun


Jika pemimpin ditangkap sekalipun, Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu (gambar) yakin rakyat tetap membanjiri ibu kota dan tempat-tempat lain menyemarakkan perhimpunan Bersih 3.0 pada 28 April ini.

"Dalam keadaan serba ketakutan setelah Bersih 2.0 dahulu mengakibatkan imej (Perdana Menteri, Datuk Seri) Najib (Tun Razak) merudum, saya yakin kerajaan Umno akan memperalatkan habis-habisan polis dan lain-lain pihak berkuasa untuk mematahkan perhimpunan Bersih 3.0 itu," kata beliau.

Beliau menjangkakan, sama seperti menjelang perhimpunan Bersih 2.0 lalu, para pemimpin parti politik dan badan-badan bukan kerajaan (NGO) akan ditangkap dengan harapan untuk menakut-nakutkan rakyat dari berhimpun.


"Tetapi, walaupun hampir semua para pemimpin tertinggi ditangkap awal-awal lagi ketika perhimpunan Bersih 2.0 belum pun bermula, rakyat tetap membanjiri Kuala Lumpur berhimpun menuntut pilihan raya yang adil dan bersih. Berhimpun tanpa pemimpin.

"Lautan manusia berhimpun di KLCC dan di pelbagai tempat di Kuala Lumpur.

"Kebangkitan itu hampir 100 peratus kebangkitan rakyat, tiada pemimpin tertinggi dan itulah sebabnya para pemimpin Umno 'kencing di dalam seluar' mereka," kata Mohamad.

Antara begitu ramai pemimpin tertinggi yang ditangkap sebelum perhimpunan Bersih 2.0 dahulu ialah Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang; Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang.

Mohamad sendiri dilanggar sebelum diseret ke dalam lokap malah beliau terpaksa menjalani pembedahan selepas itu akibat dilanggar.

Dengan pelbagai perkembangan yang berlaku, Mohamad yakin lebih ramai rakyat yang akan membanjiri Kuala Lumpur dan tempat-tempat lain pada perhimpunan Bersih 3.0 hujung bulan ini.

"Hanya satu daripada lapan tuntutan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) yang diluluskan dalam laporan Jawatankuasa Khas Pilihan Parlimen (PSC).

"Dalam pada itu muncul semakin banyak bukti mengenai kewujudan 'task force' yang bertanggungjawab memberi taraf kerakyatan kepada warga asing untuk membolehkan mereka mengundi Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum nanti," katanya.

Semua itu, kata Mohamad, menjadi pemangkin dan pendorong kebangkitan rakyat tidak kira ada pemimpin atau tidak ada pemimpin.

"Tangkaplah pemimpin mana sekalipun, ia tidak akan dapat menakut-nakutkan rakyat dari berhimpun untuk menuntut pilihan raya yang adil dan bersih," tegas beliau.

Mohamad memberitahu, beliau memang mengimpikan kebangkitan tanpa pemimpin di negara ini.

"Di dalam ceramah-ceramah saya, selalu saya menyatakan impian saya untuk melihat kebangkitan tanpa pemimpin seperti yang berlaku di Mesir sehingga tergulingnya Hosni Mubarak.

"Kebangkitan itu tidak digerakkan oleh mana-mana pemimpin parti politik tetapi dicetuskan oleh anak-anak muda aktivis rakyat seperti Wail Ghonim," katanya.

Beliau juga yakin selagi lapan tuntutan Bersih ditunaikan, rakyat tetap berhimpun dan berhimpun.

"Selepas Bersih 3.0, akan ada Bersih 4.0, Bersih 5.0, Bersih 6.0 dan seterusnya dan seterusnya selagi pilihan raya negara ini kotor dan tidak adil," tegas beliau.

Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) sebelum ini mengemukakan lapan tuntutan ke arah memperbaiki perjalanan dan pengendalian pilihan raya negara ini.

Antara lapan tuntutan tersebut ialah supaya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membersihkan daftar pengundi, mereformasikan undi pos, gunakan dakwat kekal, masa kempen minima 21 hari, akses media yang bebas dan adil, kukuhkan institusi awam, hentikan rasuah dan hentikan politik kotor.-Hrkhdly

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...