Rakyat Untuk Rakyat. Headline Animator

15 April 2012

AMK sokong mahasiswa tuntut pendidikan percuma



Angkatan Muda Keadilan (AMK) Malaysia, hari ini menyokong penuh tindakan ratusan mahasiswa yang mengadakan perhimpunan bagi menuntut pendidikan percuma di negara ini.

Naib Ketua AMK, Mohd Nazree Mohd Yunus, berkata Pakatan Rakyat mempunyai formula tertentu bagi menyelesaikan hutang pinjaman PTPTN sebanyak RM24.7 bilion membabitkan hampir 651,000 mahasiswa.

Tegas beliau kepada media, Pakatan Rakyat berkeyakinan hutang ini boleh diselesaikan dengan baik sekiranya sumber kewangan negara diurustadbir secara berhemah dan telus.


Merujuk kepada Laporan Audit Negara 2009 yang mendedahkan berlakunya ketirisan sebanyak RM28 bilion, Nazree berkata sekiranya ketirisan tersebut tidak berlaku, wang tersebut boleh disalurkan ats tujuan pendidikan kepada mahasiswa negara ini.

"Atas sebab itu kita berkeyakinan, isu PTPTN ini boleh diselesaikan dengan kita berusaha mengambil dari beberapa sumber, seperti ketirisan tadi, contohnya," tegas beliau, ketika ditemui di perhimpunan mahasiswa, di ibu kota, lewat petang tadi.

Selain menyebut keuntungan Petronas yang menjangkau RM90 bilion juga boleh dijadikan salah satu sandaran bagi menyalurkan pendidikan percuma kepada mahasiswa, Nazree berkata Pakatan Rakyat begitu prihatin atas setiap keperitan para mahasiswa di negara ini.

"Jika kita memilih untuk membayar hutang PTPTN itu sebanyak RM2 bilion setahun sekalipun, secara ansuran 10 tahun contohnya, kita sudah mampu untuk menyelesaikan keseluruhan hutang mahasiswa terbabit," jelas beliau lagi.

Beliau turut menambah, mahasiswa yang berusia 20 hingga 25 tahun kini, sudah mula menanggung hutang hampir RM20000, yang jelas membebankan mahasiswa.

Sambil mengulangi komitmen Pakatan Rakyat dalam menawarkan pendidikan percuma kepada mahasiswa, Nazree berkata sekiranya BN berjanji untuk menurunkan harga minyak apabila parti itu menang dalam pilihan raya umum ke-13, maka Pakatan Rakyat berjanji untuk memansuhkan PTPTN.

Sebelum itu, hampir 500 mahasiswa berhimpun di perkarangan Masjid Jamek Kuala Lumpur dan kompleks membeli-belah Sogo bagi menuntut pendidikan percuma kepada mereka.

Perhimpunan anjuran Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) yang diketuai Gabungan Mahasiswa Islam Malaysia (Gamis) itu pada mulanya berkumpul di persekitaran Masjid Jamek Kuala Lumpur, sebelum berarak ke Sogo.

Sepanjang Jalan Raja Laut menuju Sogo, kumpulan lebih 500 mahasiswa itu melaungkan pelbagai slogan bagi menarik perhatian pengguna jalan raya, antaranya 'Hidup Mahasiswa', 'Jahanam Kapitalis', 'Najib Altantuya', 'Mansuh PTPTN', 'Bangkit Mahasiswa' sambil memegang pelbagai kain rentang.

Tiba di Sogo, kumpulan tersebut mula berucap bagi menyatakan pendirian mereka terhadap PTPTN yang disifatkan mereka hanya melahirkan 'graduan hutang'.

Sebelum itu, mereka meletakkan kalungan bunga pada potret Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Tindakan tersebut dikatakan sebagai simbolik kepada 'kematian' peranan dua menteri tersebut dalam usaha menyelesaikan isu PTPTN yang dibantah mahasiswa.

Antara pemimpin mahasiswa yang berucap Pengerusi SMM, Mohd Safwan Anang; dan mahasiswa yang digantung pengajiannya di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Adam Adli Abdul Halim.- Harakahdly

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...