Rakyat Untuk Rakyat. Headline Animator

14 Oktober 2011

Bob Lokman persoal Jais, tetap enggan hadir


"Saya tidak akan mengalah saya berjuang demi agama. Ini hidup saya..saya tidak guna senjata tapi tetap dengan prinsip dan perjuang dengan Islam" -Bob Lokman
Penulis lirik, pelakon dan pengacara terkenal, Bob Lokman menegaskan beliau tetap dengan pendirian untuk tidak hadir memberi keterangan kepada Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) melibatkan isu ceramah tanpa tauliah terhadapnya.
Bob Lokman atau nama sebenarnya Mohd Hakim Lokman, 47, mendakwa tindakan Jais itu hanya berniat untuk memalukan dirinya sambil menyifatkan ia tidak profesional.

Sambil mempertahankan tindakannya pada malam kejadian itu, Bob mendakwa agensi terbabit menyalahguna kuasa untuk melakukan kerja parti politik tertentu dan bersedia untuk dikenakan waran tangkap.
“Jais tidak pernah mengambil nombor telefon saya, bagaimana mereka nak hubungi untuk maklumkan kepada saya untuk hadir beri keterangan? Saya tidak akan mengalah saya berjuang demi agama. Ini hidup saya..saya tidak guna senjata tapi tetap dengan prinsip dan perjuang dengan Islam.
“Saya tetap tidak akan hadir kerana sikap kadi masjid dan penguatkuasa Jais yang menyalah gunakan tugas mereka. Mereka datang guna kuasa Jais tetapi kata-kata berpihak pada Umno. Malam itu sudah tahan saya dan laporan polis sudah dibuat, kenapa tidak tangkap saya terus ketika itu? Kerana ada kuasa mereka keluar waran tangkap…saya tunggu waran tangkap itu.

`Dakwa dirancang
“Tindakan ini memang sudah dirancang untuk menangkap saya. Sebelum ini mereka hanya pantau, tunggu saya cakap sahaja. Sedangkan apa yang saya cakap hanya tentang tauhid dan akidah yang saya belajar. Itu tidak salah,” dakwanya ketika dihubungi FMT.
Pengarah Jais Marzuki Hussin dipetik media hari ini berkata pihaknya akan mendapatkan waran tangkap daripada mahkamah terhadap Bob seandainya gagal hadir memberi keterangan kepada agensi itu.
Bob yang ditahan Isnin lalu mengikut Seksyen 119 Enakmen Pentadbiran Islam (Negeri Selangor) 2003 iaitu ceramah tanpa tauliah di Masjid Sungai Lui, Hulu Langat.
Seksyen 119, Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 menyebut “mana-mana orang yang mengajar agama Islam atau perkara mengenai agama Islam tanpa tauliah diberikan mengikut Seksyen 118 adalah melakukan kesalahan dan boleh didenda tidak lebih RM3,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.” Disebabkan enggan hadir memberi keterangan dengan sengaja pula, selebriti itu melakukan kesalahan mengikut Seksyen 12B Enakmen Jenayah Syariah Selangor.”
Jika disabitkan kesalahan mengikut Seksyen 12B Enakmen Jenayah Syariah Selangor itu, boleh didenda tidak lebih RM3,000 atau penjara tidak lebih dua tahun.-FMT

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...