Rakyat Untuk Rakyat. Headline Animator

19 Ogos 2011

PSC : Cubaan Alih Perhatian Rakyat



Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menegaskan penubuhan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bertujuan sekadar untuk mengaburi mata rakyat.

Katanya, ini kerana penubuhan jawatankuasa tersebut untuk menambah baik proses pilihan raya, tidak dirunding bersama Ahli Parlimen Pakatan Rakyat dan bersifat berat sebelah.

“Kalau dikatakan ada jawatankuasa khas yang ditubuh, itu hanyalah untuk mengaburi mata kita sebab ini tidak dibincangkan dengan pihak pembangkang di parlimen. Sistem ini juga berat sebelah,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan lawatan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), bersama Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar bagi menyampaikan sumbangan kepada kira-kira 300 pesakit semalam.

Katanya, penubuhan jawatankuasa itu bukan sahaja membuktikan kerajaan pimpinan perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak mengakui wujud kepincangan pilihan raya.

“Sebab itu perlunya reformasi dalam pembersihan undi, macam-macam yang telah dilakukan termasuk protes dan perbincangan oleh Badan Bukan Kerajaan, (NGO). Protes ini (Bersih) bukan kali pertama dibuat, tapi masih lagi tidak ada perubahan,”

“Apa yang kita tengok makin teruk dan kita perlu dedahkan lebih supaya kerajaan ambil langkah-langkah yang kukuh dan mantap. Kenalah mengambil kira pandangan pembangkang, sekurang-kurangnya Perdana Menteri mengakui memang ada kepincangan dalam sistem pilihanraya,” katanya lagi.

Sementara itu, Wan Azizah menyifatkan kongkongan kebebasan media yang dilakukan Umno-BN, sebagai perkara yang memalukan negara.

Baru-baru ini, Datuk Seri Najib Razak membuat kenyataan mengenai usaha mengurangkan penapisan media namun ia berlaku sebaliknya apabila jurugambar Suara Keadilan, Yuisriah Yusof dipanggil Suruhanjaya Komunikasi Multimedia (SKMM).

SKMM juga memanggil ibu bapa blogger, Nur Hanief Abdul Jalil yang disiasat pada Mac lalu kerana mengkritik Umno-BN melalui laman Youtube.

“Malaysia jatuh pada tangga bawah kerana kongkongan dalam kebebasan media ini amatlah memalukan negara.

Menurutnya, Selangor mencatat sejarah apabila menjadi negeri pertama dalam Malaysia meluluskan Enakmen Kebebasan Maklumat (FOI) 2010 yang memberikan hak kepada rakyat untuk mengakses maklumat berkaitan pentadbiran negeri.

“Kita di selangor mengadakan kebebasan media . Itu yang kita nak supaya kita dapat sesuatu yang akan sampaikan kepada rakyat. Jadi rakyat boleh mengetahui pemimpin mereka dan boleh membuat pilihan,” kata beliau.- Tvsnews

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...