Bekas Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Musa Hassan hari ini enggan ditemubual mahupun menjadi saksi di mahkamah dalam perbicaraan kes Fitnah II.
Perkara itu diberitahu Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam laman Twitter beliau sebentar tadi.
“Bekas KPN, Musa Hassan sewaktu ditanya peguam saya menjawab “Tidak mahu ditemubual dan tidak mahu menjadi saksi pembela,” kata Anwar.
Mengulas perkara ini, peguam Anwar, Ram Karpal Singh ketika dihubungi berkata Musa adalah saksi penting namun keengganannya ditemubual sudah dijangka.
Namun, katanya, ia tidak menjadi masalah besar buat pasukan peguambela dan mereka tetap akan meneruskan pembentangan hujah pembelaan mereka Isnin depan tanpa gentar.
“Kami sememangnya berharap dapat menemubual beliau (Musa) (dengan sempurna) kerana beliau merupakan saksi penting perbicaraan ini.
“Walaupun begitu, kami tidak terkejut dengan keengganannya untuk ditemubual.
“Kami sudah menjangkakannya dan akan meneruskan pembelaan pada hari Isnin seperti yang telah dirangka dalam strategi kami,” kata Ram Karpal Singh.
Musa sebelum ini enggan ditemubual atas alasan Anwar turut hadir semasa sesi temubual dijalankan. Namun, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Mohamad Zabidin memutuskan Anwar berhak hadir sewaktu sesi temubual berlangsung.
Sikap yang diambil Musa Hassan adalah sama dengan sikap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor.
Ketiga-tiga mereka enggan menjadi saksi walau pun merupakan watak penting dalam perbicaraan kes Fitnah II.
Najib pernah bertemu dengan pengadu, Saiful Bukhari dua hari sebelum Saiful membuat laporan polis kononnya beliau diliwat.
Rosmah pula adalah majikan kepada Datuk Mumtaz Jaafar, ibu angkat kepada Saiful Bukhari.
Sementara Musa Hassan pula pernah terlibat sebagai saksi pendakwaan kes Fitnah tahun 1998 dan merupakan Ketua Polis Negara sewaktu Fitnah II dilemparkan terhadap Anwar.-Kdaily
Tiada ulasan:
Catat Ulasan