Hujah diberi oleh kerajaan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim ialah slogan itu adalah mesej politik Barisan Nasional(BN) yang cuba menyembunyikan amalan politik perkauman yang dibawa oleh pemerintah. Namun sesetengah pemimpin PR berpendapat langkah itu hanya memberikan publisiti percuma kepada slogan itu dan BN sendiri. Media arus perdana sudah pun mula "menggasak" PR atas tindakan oleh kerajaan Selangor itu. Ini sudah dijangkakan.
Tidak kira apa pandangan dan dilihat dari sisi mana, ada seperkara yang menarik dalam isu ini. Hakikatnya adalah, BN sendiri telah lama mencantas sebarang program Pakatan Rakyat dalam percaturan politiknya.
Malah, Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), dan agensi berita lain yang di bawah pengaruhnya dilarang menggunakan ungkapan Pakatan Rakyat sama sekali. Mereka diarah menggunakan ungkapan Pakatan Pembangkang. Anwar Ibrahim pula tidak boleh dirujuk sebagai Mantan Timbalan Perdana Menteri; memadai beliau dipanggil Ketua Pembangkang (selepas beliau digantung, belum diketahui arahan baru yang bakal digunakan).
