Rakyat Untuk Rakyat. Headline Animator

07 Februari 2014

Barang naik: Di mana lagi rakyat harus berjimat?


Tekanan ke atas kerajaan berikutan kenaikan pelbagai harga barangan dan perkhidmatan kebelakangan ini perlu berterusan bagi memastikan kerajaan benar-benar sedar dan faham keperitan rakyat.

Nasihat agar rakyat berjimat-cermat dan memikirkan keperluan melebihi keinginan dianggap satu tamparan yang menyakitkan apabila rakyat sudah tidak tahu di mana dan apa lagi yang boleh dijimatkan.

"Di mana lagi rakyat harus berjimat? Pada saya, rakyat sudah puas berjimat. Kalau harga barangan, mungkin pembeli boleh memilih untuk tidak membeli barangan yang meningkat harganya. Tapi kalau kenaikan tarif elektrik, di mana lagi mahu berjimat sedangkan semuanya menggunakan tenaga tersebut. Takkan mahu berjimat dengan kembali ke dapur kayu?" kata Pengerusi Lajnah Pekerja dan Pengguna PAS Pusat, Anuar Tahir.



Beliau berkata demikian kepada Harakahdaily sebagai mengulas rungutan pengguna ekoran kenaikan tarif elektrik yang mula dirasai mereka bermula Januari lalu.

Tegas Anuar, biarpun kerajaan mengatakan hanya pengguna elektrik yang melebihi 300kwh sahaja dikenakan kenaikan tersebut, hakikatnya kesan berantai dari kenaikan itu turut dirasai mereka.

Sebagai contoh, kebanyakan kedai makan bertindak menaikkan harga minuman, khususnya minuman berais kerana terpaksa menyimpan ais batu, selain menyimpan bahan-bahan mentah seperti ayam, ikan, daging dan sayur-sayuran di dalam peti ais.

"Memang ada pengguna domestik yang tidak kena dengan kenaikan tarif elektrik itu, tapi bila pengguna industri dan komersial terbeban dengan tarif itu, sudah tentu mereka terpaksa meningkatkan harga barangan ekoran kos operasi meningkat.

"Mahu atau tidak pengguna domestik tadi terpaksa membayar mahal untuk sesuatu barangan dan perkhidmatan yang banyak menggunakan tenaga elektrik," tegas beliau lagi.

Justeru, katanya kerajaan perlu memikirkan kesan berantai yang akan berlaku sebelum bertindak meningkatkan harga sesuatu barangan dan perkhidmatan, apatah lagi dengan keuntungan melipat-ganda yang diperolehi Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Jika kerajaan boleh menangguhkan kenaikan harga tol seperti yang diumumkan semalam, tegas Anuar ia membuktikan kerajaan boleh untuk tidak menaikkan harga sesuatu barangan mahupun perkhidmatan, bagaikan pepatah yang mengatakan 'hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih'.

Sebaliknya, tegas Anuar kerajaan seharusnya mencari mekanisme terbaik bagi meningkatkan pendapatan negara tanpa menghakis kuasa beli rakyat di negara ini, yang mana pendapatan rakyat masih berada pada taraf yang rendah.

Dalam pada itu, Anuar berkata pihaknya akan terus bekerjasama dengan mana-mana pihak yang akan terus memberi tekanan kepada kerajaan, sama ada daripada PAS, mahupun NGO bagi membantah kenaikan tarif elektrik ini.

Purata kenaikan tarif elektrik ini sebanyak 10.6 peratus atau 3.03 sen kilowatts (kWh) per jam bagi pengguna domestik, 16.85 peratus atau 6.91 sen/kWh bagi pengguna komersial, dan 16.85 peratus atau 5.21 sen/kWh bagi pengguna industri.

Biarpun kenaikan itu dikatakan baik untuk TNB, ia merupakan sesuatu yang buruk bagi beberapa industri besar seperti sektor simen, sarung tangan getah, besi dan bahan binaan.- Harakahdaily

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...