
Analisa oleh Hafis Baki
TEMERLOH, 5 Mac: Tinggal beberapa jam sahaja lagi sebelum tamat tempoh berkempen kepada PAS yang mewakili Pakatan Rakyat dan Umno (Barisan Nasional) yang bertanding dalam pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kerdau.
Menjelang hari terakhir, penyokong kedua-dua parti daripada luar kawasan mula tiba sejak semalam.
Kebetulan dengan cuti hujung minggu pengunjung semakin ramai membanjiri kawasan pilihan raya menjadikan jalan -jalan utama khususnya yang menempatkan bilik gerakan utama PAS dan BN mula sesak dengan deretan kenderaan.
Tidak ketinggalan bandar Temerloh yang terletak beberapa kilometer sahaja daripada kawasan pilihan raya telah sesak sejak tengahari ekoran pengunjung mengambil peluang merasai masakan ikan patin di situ.
Kehadiran dijangka semakin bertambah menjelang malam ini dan esok.
Sementara jentera kempen kedua-dua parti pula semakin aktif menjalankan kerja meraih undi yang hanya berbaki beberapa jam sahaja lagi sebelum tempoh berkempen ditutup secara rasmi menjelang jam 12 malam ini.
