Ketua Oposisi Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata ini kerana Pakatan Rakyat tidak pernah melihat pelantikan itu di sudut rasis dan perkauman sempit tetapi melihat lebih jauh daripada itu kepada ketokohan, kewibawaan dan sumbangan seseorang pemimpin itu kepada negara tanpa mengira warna kulit, bangsa atau agama.
Anwar berkata setiap warga negara Malaysia yang berkelayakan dan menunjukkan kesetiaan kepada Raja dan negara serta menjunjung Perlembagaan berhak mendapat tempat sewajarnya dalam Kerajaan Persekutuan Pakatan Rakyat.
"Ini akan menjadi keputusan pimpinan Pakatan Rakyat. Yang saya tidak bersetuju ialah bagaimana isu ini dilaporkan oleh media yang dikuasai Umno, yang memberi gambaran seolah-olah saya pro-Cina.
"Saya ingin bertanya mengapa kita menafikan sebarang warga negara yang mempunyai kemampuan dan keupayaan termasuk Lim, hanya kerana dia seorang Cina?
