Hazayani Zakaria
Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) membantah keras pelantikan Tan Sri Isa Samad sebagai pengerusi Felda yang baru dan mendesak Perdana Menteri menarik semula pelantikan tersebut.
Pengerusinya, Mazlan Aliman (gambar) yang kecewa dengan pelantikan itu berkata, Isa tidak layak untuk memegang jawatan tersebut kerana latar belakangnya yang pernah terbabit dengan politik wang dalam pemilihan Umno pada 2004.
"Saya mewakili Anak membantah keras pelantikan Tan Sri Isa Samad ini. Berdasarkan salah laku yang pernah dilakukan beliau, sudah cukup jelas beliau bukan pemimpin beramanah yang sepatutnya menjadi pilihan (Datuk Seri) Najib (Razak).
"Sehubungan itu saya mendesak Perdana Menteri menarik balik pelantikan itu," kata beliau ketika dihubungi Harakahdaily hari ini.
Mazlan yang juga exco lajnah pembangunan tanah dan wilayah PAs Pusat juga menegaskan, sekiranya Najib enggan berbuat demikian pihaknya akan membuat pungutan suara warga Felda yang membantah pelantikan itu.
"Jika kerajaan tidak berbuat demikian saya ingin menyatakan ketegasan kita bahawa Anak akan membuat satu pungutan suara iaitu referendum sejuta tandatangan dan kita akan serah kepada Perdana Menteri supaya menarik balik pelantikan ini.
Tambahnya, Anak juga tidak teragak-agak untuk memohon campur tangan Yang di-Pertuan Agong dalam perkara itu sekiranya bantahan mereka tidak dipedulikan.
"Kalau Perdana Menteri enggan tarik (pelantikan) juga, kita tidak teragak-agak untuk serah memorandum bantahan dan tandatangan ini kepada Yang di-Pertuan Agong.
