Rakyat Untuk Rakyat. Headline Animator

30 Januari 2014

Husam cadang kerajaan negeri runding elak saman


Perundingan perlu diadakan di antara kerajaan negeri melalui anak syarikatnya dengan Dae Hanguru Infra Sdn Bhd bagi menyelesaikan masalah yang berlaku antara kedua pihak berhubung pembinaan Lebuhraya Rakyat Kota Bharu-Kuala Krai.

Bekas anggota exco kerajaan negeri, Datuk Husam Musa ketika mencadangkan perkara itu berkata, ianya tidak perlu sampai ke peringkat mahkamah memandangkan perkara itu dapat diselesaikan secara baik.

Beliau berkata demikian kepada media ketika diminta mengulas tindakan saman Dae Hanguru Infra Sdn Bhd (DHI) yang menuntut ganti rugi daripada Baldah Toyyibah (Prasarana) Kelantan Sdn Bhd (Baldah) dan Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) kerana gagal memenuhi perjanjian pembinaan lebuh raya itu.


Husam ditemui pemberita selepas membentangkan kertas kerja bertajuk "Ibrah Dari Kisah Nabi Yusof: Perancangan Kebajikan dan Kesejahteraan Rakyat" anjuran Urusetia Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan dan Kesejahteraan Rakyat semalam.

"Suka saya nasihatkan kedua-dua syarikat berunding dahulu, tidak perlu saman menyaman di mahkamah, surat mereka kepada kerajaan negeri mungkin lupa dilayan.

"Tetapi saya harap kerajaan panggil balik syarikat berkenaan untuk berunding dan dengar apa pandangan mereka. Sebagai sebuah kerajaan yang bertanggungjawab, saya yakin Kelantan setuju," ujarnya.

Dalam perkembangan berkaitan, Husam memaklumkan kesediaan sebuah syarikat dari China untuk membina lebuhraya sejauh 73 kilometer itu tanpa tol dengan jaminan pembayaran dari Kerajaan Persekutuan.

Beliau berharap kerajaan negeri turut mempertimbangkan cadangan tersebut memandangkan negeri itu mempunyai banyak alternatif untuk menjayakan pembinaan lebuhraya itu.

“Kelantan harus bersikap terbuka dan yakin sekiranya kerajaan negeri memanggil balik syarikat sebelum inipun perkara ini dapat diselesaikan,” ujarnya.

DHI menuntut RM225 juta, iaitu anggaran nilai keuntungan yang tidak akan diperolehi disebabkan pelanggaran kontrak oleh defendan.

Syarikat tersebut mendakwa telah membelanjakan kira-kira RM5juta untuk kerja berkaitan projek berkenaan.

Plaintif juga menuntut RM5 juta sebagai ganti rugi khas, faedah pada kadar lima peratus setahun, ganti rugi am untuk ditaksir bagi pelanggaran kontrak, kos dan relif lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah.

Saman difailkan Tetuan Fernandez & Selvarajah, di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi, di sini kelmarin. Harakahdaily

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...