Rakyat Untuk Rakyat. Headline Animator

06 Mac 2012

Himpunan Hijau 3.0 sekiranya kerajaan masih berdegil

Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh tidak menolak kemungkinan Himpunan Hijau 3.0 akan diadakan sekiranya kerajaan masih berdegil meneruskan projek pemprosesan nadir bumi oleh Lynas Advanced Material Plant (Lynas) di Gebeng, Kuantan.


Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa Gabungan Hentikan Lynas berkata demikian, mengulas kenyataan Pengerusi Lajnah Alam Sekitar PAS, Zulkefly Mohamad Omar yang mengatakan Himpunan Hijau 3.0 akan menjadi pilihan sekiranya kerajaan masih meneruskan operasi Lynas.



“Memang ada perbincangan untuk mengadakan Himpunan Hijau 3.0, walaupun ia tidaklah secara terperinci,”
“Ini kerana Himpunan Hijau 2.0 yang sangat berjaya meyakinkan kita bahawa seluruh rakyat Malaysia sememangnya mahu projek ini dihentikan,” kata Fuziah ketika dihubungi keadilandaily.


Pada 2 Mac lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan sisa radioaktif dari kilang Lynas akan dipindahkan ke satu lokasi lain yang belum dipastikan.


Kenyataan itu disambut oleh pimpinan Pakatan Rakyat yang menyifatkan Najib sebenarnya menyedari bahawa sisa dari projek Lynas sememangnya membahayakan kesihatan rakyat Malaysia.


Mengulas isu yang sama, Ketua Penerangan Himpunan Hijau 2.0, Lee Chean Chung turut membayangkan kemungkinan menganjurkan Himpunan Hijau 3.0, sekiranya operasi Lynas masih diteruskan.


“Kejayaan perhimpunan sebelum ini menambahkan keyakinan kita untuk terus menyatakan bantahan kepada kerajaan berkenaan projek ini.


“Kami masih belum ada butiran rasmi berkenaan tarikh dan lokasi perhimpunan. Mungkin kami akan mengadakan kerjasama dengan Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih) untuk Himpunan Hijau 3.0 nanti”, kata Lee.


Dalam pada itu, Pengerusi Bersih, Dato’ S. Ambiga ketika dihubungi berkata, beliau akan bertemu dengan penganjur Himpunan Hijau 2.0 untuk membincangkan perkara tersebut.


Pada 26 Febuari lalu, hampir 20,000 rakyat berhimpun di Padang Majlis Perbandaran Kuantan bagi menyatakan bantahan terhadap kehadiran kilang dari Australia itu.


Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini berjanji akan membatalkan projek berkenaan sekiranya Pakatan diberikan mandat dalam pilihan raya dan akan membawa usul tergempar mengenai projek berkenaan di parlimen.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...