Rakyat Untuk Rakyat. Headline Animator

08 Mac 2012

Guan Eng: Tol Hapus Bila PR Perintah Negara

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng tegas dengan pendiriannya Malaysia tidak akan bangkrap hanya kerana tol Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) dan Jambatan Pulau Pinang dimansuhkan.

Sebaliknya, beliau menjelaskan negara akan mengalami bangkrap disebabkan amalan rasuah, penyalahgunaan kuasa dan kronisme.

Maka dengan itu, Lim yang juga Setiausaha Agung DAP mengulangi kenyataannya bahawa Pakatan Rakyat (PR) akan memansuhkan tol PLUS dan Jambatan Pulau Pinang sekiranya gabungan itu memenangi Pilihanraya Umum ke 13 (PRU13) akan datang.


“Pemansuhan tol PLUS dan Jambatan Pulau Pinang tidak akan menjadikan negara bankrap tetapi adalah betul dari segi moral dan etika. Yang tidak berhati perut dan tidak adil kepada rakyat adalah hakikat bahawa syarikat pengendali tol sedang mengaut keuntungan yang sangat tinggi walaupun kos pelaburan asal untuk pembinaan sudah habis dikutip.

“Jawapan bertulis Parlimen kepada saya telah menunjukkan bahawa syarikat pengendali tol PLUS telah membelanjakan RM5,945 juta untuk pembinaan lebuhraya tersebut tetapi sudah menerima sebanyak RM24,266 juta daripada kutipan tol dan pampasan kerajaan sehingga 31 Disember 2010.

“Dalam erti kata lain, syarikat pengendali tol PLUS telah mencatat lebihan sebanyak RM18,321 juta setakat tarikh itu daripada pelaburan asal,” katanya ketika berucap dalam sesi Debat Pakatan Pulau Pinang di Dewan Besar Sungai Dua, Teluk Air Tawar di sini.

Dalam majlis tersebut, Lim melahirkan rasa dukacita berikutan ketidakhadiran Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop bagi menyahut cabaran debat umum atas topik “Pemansuhan Tol Lebuhraya PLUS dan Jambatan Pulau Pinang Akan Menjadikan Negara Kita Bangkrap”.

Beliau berkata, tindakan Kerajaan Persekutuan melanjutkan tempoh konsesi tol PLUS dan Jambatan Pulau Pinang dari 2021 kepada 2038 adalah tidak wajar dan membebankan rakyat Pulau Pinang khasnya dan Malaysia amnya.

“Kenapakah Kerajaan Persekutuan memangsakan Pulau Pinang dengan melanjutkan tempoh konsesi Jambatan Pulau Pinang selama 17 tahun sehingga 2038 dan Lebuhraya Butterworth-Kulim (BKE) selama 11 tahun sehingga 2038? Untuk BKE, pembekuan kenaikan tol hanya sampai 2015 dan kadar tol akan dinaikkan lima peratus setiap tiga tahun bermula 2016.

“Adakah perlu lagi untuk syarikat tersebut untuk mengutip lagi banyak tol daripada rakyat apatah lagi untuk menaikkan kadar tol? Sepatutnya, dan jika diambil kira kepentingan rakyat, kutipan tol bagi PLUS patut dihentikan serta merta memandangkan hasil kutipannya yang berjumlah RM18.3 bilion sudah pun tiga kali ganda pelaburan asal iaitu RM6 bilion,” katanya.

Lim berkata, keadaan sama juga bagi Jambatan Pulau Pinang yang telah mengutip sebanyak RM1,859 juta dengan kos pembinaan RM944 juta iaitu lebihan dicatat sebanyak RM924 juta.

Manakala bagi BKE, jelasnya, tol dikutip berjumlah RM340 juta sementara kos pembinaannya RM256 juta iaitu lebihan sebanyak RM84 juta.

Katanya, rakyat Pulau Pinang bukan sahaja tidak sepatutnya terus dibebani tol sehingga 31 Disember 2038 malah tol bagi Jambatan Pulau Pinang dan BKE harus dihentikan serta merta.

“Kos maksimum untuk pemansuhan PLUS dan Jambatan Pulau Pinang adalah RM50 bilion iaitu RM40 bilion untuk PLUS dan RM10 bilion untuk Jambatan Pulau Pinang. RM50 bilion tidak akan menjadikan negara bankrap sebaliknya yang akan menjadikan negara bankrap adalah rasuah, penyalahgunaan kuasa dan kronisme. Lagipun, kos projek Mass Rapid Transit (MRT) barupun sudah mencecah RM50 bilion.

“Malaysia mampu membayar RM50 bilion untuk memansuhkan tol Jambatan Pulau Pinang dan PLUS tetapi tidak mampu menanggung rasuah yang berjumlah 100 bilion dolar Amerika (RM350 bilion).

“Laporan Global Financial Integriti telah menunjukkan bahawa sejumlah RM1,077 bilion wang haram telah dibawa keluar dari Malaysia dalam dekad yang hilang akibat korupsi dari 2000-2009,” katanya.

Lim berharap Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu dapat menjelaskan bagaimana semakan semula dan pelanjutan konsesi tol Jambatan Pulau Pinang dari 2021 ke 2038 sebagai balasan untuk pembekuan tol 10 peratus betul-betul boleh membawa manfaat kepada rakyat Pulau Pinang.

Dakwanya sekiranya diberi pilihan, rakyat negeri itu lebih sanggup menerima kenaikan tol 10 peratus bagi setiap lima tahun jika tol dimansuhkan pada 31 Disember 2021 daripada menunggu sampai 31 Disember 12.2038 walaupun tiada kenaikan tol dikenakan.

“Semakan semula dan pelanjutan tempoh konsesi tol sehingga 2038 sebagai balasan pengecualian pampasan kerajaan sebanyak RM6.5 bilion telah dilakukan tanpa rundingan dengan rakyat dan hanya menguntungkan syarikat pengendali tol manakala yang ruginya rakyat Pulau Pinang dan Malaysia,” ujarnya.-Selangorku.

1 ulasan:

kampong lad berkata...

kos maintenance & gaji pekerja (berapa ribu mulut yg bergantung pada pekerja2) sapa nak bayaq? turun kadar tol tu boleh la, hapus terus boleh ka?

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...