Rakyat Untuk Rakyat. Headline Animator

27 Julai 2013

Utusan mesti diambil tindakan kerana buat laporan palsu


DAP menuntut tindakan tegas diambil terhadap akhbar Utusan Malaysia di bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 atau Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana menyiarkan berita palsu bahawa pihak polis akan menggunakan Akta Hasutan ke atas mereka yang menyebarkan gambar kontroversi kantin sementara di bilik mandi.

Ini berikutan laporan palsu Utusan kononnya Timbalan Ketua Polis Selangor Datuk A Thaiveegan berkata pihak polis tidak akan teragak-agak untuk menggunakan Akta Hasutan terhadap mereka yang menyebarkan gambar kantin sementara di bilik mandi tersebut, kerana gambar itu boleh menimbulkan provokasi dan konflik perkauman.


Menurut A. Thaiveegan, beliau tidak ada pun menyebut demikian sehingga mahu menggunakan Akta Hasutan, kata Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng (gambar).

Di bawah Seksyen 8 Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984, hukuman bagi menyiarkan berita palsu adalah denda maksimum RM20,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya sekali; manakala di bawah Seksyen 233(1) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, denda maksima tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak lebih satu tahun atau kedua-duanya sekali.

"DAP sangsi tindakan akan diambil terhadap Utusan Malaysia kerana menyebarkan berita palsu kerana BN mengamalkan ‘double standard’ dan pendakwaan terpilih dengan hanya menghukum lawannya tetapi bukan mereka yang menyokong BN.

"Lihat sahaja kegagalan untuk menghukum pemimpin Perkasa, Ibrahim Ali dan Zulkifli Noordin yang masing-masing menyeru untuk membakar kitab Bible dan menghina penganut Hindu.

"Lebih buruk lagi, menteri Umno seperti keengganan Menteri Kesejahteraan Bandarm Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Abdul Rahman untuk mengutuk seruan Ibrahim Ali untuk membakar Bible mahupun supaya Ibrahim Ali meminta maaf dan dihukum," kata Lim Guan Eng.

Katanya, orang awam sudah tidak tahan lagi dengan penipuan yang disebarkan Utusan Malaysia bagi membangkitkan ketakutan dan kebencian di antara masyarakat Malaysia yang berbilang kaum dan agama.

Sebagai akhbar yang menipu tentang pemimpin Pakatan Rakyat, ia dilakukan dengan begitu mudah sekali, seperti bernafas, dakwanya.

"Pemimpin pembangkang seperti saya, yang menang saman fitnah terhadap utusan tidak juga menghentikan akhbar itu daripada meneruskan budaya berbohongnya.

"Tidak ada sesuatu yang melampau bagi Utusan Malaysia, sehinggakan ia boleh menyeru supaya rusuhan kaum 13 Mei yang telah mengorbankan ribuan rakyat Malaysia yang tidak bersalah disambut sebagai sebuah hari suci," kata Lim.

DAP juga, kata Lim Guan Eng, mencela ugutan bunuh terhadap pihak yang memberi maklumat serta ibu bapa pelajar SK Seri Pristana yang mendedahkan kes murid disuruh makan di bilik mandi sekolah, saudari Guneswari, serta guru besar sekolah tersebut, Mohamad Nasir Mohd Noor.

Ugutan ganas sedemikian adalah perbuatan jenayah dan sama sekali bertentangan dengan budaya Malaysia yang menggunakan rasional serta penyelesaian yang munasabah bagi menyelesaikan masalah.

"DAP berharap agar pihak polis bertindak ke atas pihak yang bertanggungjawab menyebarkan budaya keganasan ini," kata Lim.- Harakahdaily

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...