Rakyat Untuk Rakyat. Headline Animator

30 Jun 2012

Kontrak LRT RM1 bilion: KEADILAN cabar polis siasat campur tangan PM



KEADILAN menggesa polis menyiasat Datuk Seri Najib Razak secara profesional berhubung laporan salah guna kuasa beliau dengan memberikan kontrak kepada kroni bagi projek tambahan LRT Ampang.

Pengarah Strateginya, Rafizi Ramli berkata, ia merupakan ujian terhadap kewibawaan polis sama ada berani menyiasat Perdana Menteri atau sebaliknya.

“Kita tunggu sahaja apa tindakan polis selepas ini,” katanya pada sidang media selepas membuat laporan polis di Balai Polis Tropicana, Damansara di sini, hari ini.

Beliau ditemani peguamnya, Latheefa Koya yang juga Pengarah Guaman KEADILAN.



Rafizi berkata, beliau mempunyai bukti kukuh terhadap campur tangan Najib menganugerahkan kontrak bernilai RM1.1 bilion kepada Konsortium George Kent Berhad.


Katanya, Najib menolak tender terbuka dengan mengubah keputusan Prasarana Berhad – syarikat berkaitan kerajaan (GLC), dalam penganugerahan tender itu.

“Saya mendapat maklumat GLC sudah bersetuju selepas menilai bidaan ini untuk memberikan kontrak ini kepada konsortium lain yang lebih layak,” katanya.

Beliau berkata, campur tangan itu membahayakan keselamatan rakyat kerana George Kent tiada kepakaran dalam pembinaan LRT sebaliknya hanya terlibat dalam kerja-kerja perpaipan.

Ditanya sama ada beliau akan meneruskan laporan ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM),

Rafizi berkata, beliau menyerahkan tanggungjawab itu kepada polis untuk melihat sejauhmana kewibawaan istitusi tersebut.

“Biarlah polis melakukan siasatan dahulu…lagipun saya lebih percaya polis,” katanya sinis.

Rafizi berkata, SPRM mempunyai kuasa lebih besar dan boleh menyiasat sesuatu kes tanpa membuat laporan.

Bagaimanapun, beliau mengalu-alukan penyiasatan oleh SPRM, tetapi tidak yakin suruhanjaya itu mampu berbuat demikian.-Keadilandaily

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...