Rakyat Untuk Rakyat. Headline Animator

04 September 2013

Harga minyak naik: Hari-hari terakhir Najib


Kenaikan harga minyak memperlihatkan kepada kita satu lagi babak kisah hari-hari terakhir seorang Perdana Menteri,” kata Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub.

"Sejarah berulang lagi. Apa yang berlaku kepada Pak Lah (Tun Abdullah Ahmad Badawi) kini sedang berlaku kepada (Datuk Seri) Najib (Tun Razak).

"Sama seperti Pak Lah, Najib gagal mendapat majoriti dua pertiga dalam Pilihan raya Umum ke-13 (PRU13) yang lalu dan Najib juga membuat kesilapan seperti Pak Lah dalam pembentukan kabinetnya selepas PRU13," katanya.



Bagi Salahuddin, kabinet Najib yang baru dipenuhi oleh personaliti yang hanya dilantik dengan tujuan menguatkan kedudukannya menghadapi pemilihan Umno.

"Kabinet Najib dipenuhi oleh mereka yang hanya bertujuan mengekalkan kedudukannya sebagai Presiden Umno dan Perdana Menteri, bukan mereka yang dapat memakmurkan negara dan rakyat," katanya.

Dengan latar belakang sedemikian, kata beliau, tidak hairanlah Najib melakukan apa yang telah dilakukan oleh Pak Lah, iaitu menaikkan harga minyak yang secara langsung dan serta merta akan menaikkan kos pengangkutan, harga makanan dan juga harga barang-barang keperluan.

Kesemua itu, kata Salahuddin, akan menyebabkan kenaikan kadar inflasi yang tidak terkawal atau runaway inflation.

Beliau melihat, kesemua faktor itu akan menguatkan apa yang diheboh-hebohkan sebagai ‘Gerakan Singkir Najib (GSN)’ di dalam Umno.

"Kenaikan harga minyak merupakan faktor ketiga yang akan memberikan lampu hijau kpd GSN dalam Umno untuk mempertingkatkan usaha mereka menjatuhkan Najib dan (isterinya, Datin Seri) Rosmah (Mansor) daripada tampuk pemerintahan.

"Tokoh-tokoh dan ahli-ahli Umno yang tidak senang dengan regu Najib-Rosmah akan menggunakan kemarahan rakyat akibat kenaikan harga minyak sebagai faktor utama dalam usaha penyingkiran tersebut," katanya.

Salahuddin juga menyatakan kekesalannya dengan tindakan Najib menarik balik subsidi minyak kepada rakyat.

"Subsidi minyak kepada rakyat Najib rampas, sedangkan subsidi kepada kroni-kroni yang menjadi tuan-tuan punya penjana kuasa bebas (IPP) tidak diusik sedikit pun, hutang setengah bilion ringgit (Tan Sri) Tajuddin Ramli dihapuskan manakala pemerasan kroni-kroni yang menjadi pemegang-pemegang konsesi tol di lebuhraya-lebuhraya diteruskan.

"Subsidi kepada golongan kapitalis diteruskan, contohnya melalui geran-geran Dana Mudahcara (Facilitation Fund) yang dikendalikan oleh Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS) dan juga Unit Perancang Ekonomi (EPU) di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) yang menjangkau berbilion ringgit," katanya.

Selain dari itu, kata Salahuddin, ratusan juta boleh pula diberikan kepada konsultan-konsultan Unit Pengurusan Prestasi dan Perlaksanaan (Pemandu) di bawah JPM, tetapi kalau kepada rakyat, subsidi yang tidak seberapa bagi setiap individu pun dirampas atau dikurangkan oleh kerajaan Najib.

"Sharizat boleh dilantik sebagai Penasihat Perdana Menteri bertaraf menteri dengan gaji menteri dan segala nikmat dengan jawatan tersebut, tetapi kapada rakyat marhaen 'no subsidy'. Inilah Najibnomics," katanya.

Salahuddin mengakui, adalah sukar bagi sesiapa pun menolak kemungkinan protes-protes rakyat akibat kenaikan melampau harga minyak akan tercetus dengan hebat.

"Tidak perlu sesiapa pun menghasut, kemarahan rakyat yang semakin membara amat jelas di mana-mana.

"Mereka sendiri yang berkempen secara besar-besaran menentang kenaikan harga minyak ini," katanya.-Harakahdaily

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...