Rakyat Untuk Rakyat. Headline Animator

05 Jun 2013

Perjuangan perkauman membuang masa


MASA itu emas. Maka membuang masa ibarat membuang emas. Tidakkah ini kerja bodoh? Begitulah perjuangan perkauman yang Umno menjadi juara dalam menyalak isu perkauman. Ia adalah perjuangan sia-sia.

Saya kadangkala keliru dan kadangkala geli hati memikirkan gelagat sesetengah golongan cerdik pandai Melayu yang menyokong Umno. Kenyataan bekas Hakim Mahkamah Rayuan tentang perjuagan Melayu mengakibatkan saya membuat kesimpulan begini: apabila bercakap tentang Melayu golongan cerdik pandai dengan tiba-tiba jadi tidak ketahuan. Mereka tidak lagi boleh berfikir dengan jelas dan waras.


Di sinilah perlunya kita mempunyai tasawwur yang jelas tentang bangsa. Kepelbagaian bangsa, keturunan, bahasa dan warna kulit adalah “ma’isyatullah” (Kehendak Allah). Ia suatu pelan asal Allah.

Tujuannya hanya satu iaitu untuk umat manusia yang pelbagai bangsa ini kenal antara satu sama lain. Tidak lebih dan tidak kurang dari itu.

Jika kepelbagaian kaum dan bangsa ini menyebabkan kita bergaduh dan saling tidak mempercayai satu sama lain sudah jelas ia adalah kesilapan dalam memahami tasawwur tersebut. Ia menunjukkan betapa jauhnya Islam dengan kita.

Sayangi bangsa suatu fitrah yang Allah semat dalam diri setiap insan sebagaimana bapa atau ibu sayangkan anaknya. Apabila ia suatu yang fitri sifatnya membuang masa untuk orang Melayu diingatkan perlunya mereka menjaga dan menyayangi bangsa.

Jika bangsa menjadi taruhan sudah tentu yang paling berhak memperjuangkan bangsa Arab adalah Rasulullah s.a.w. Baginda s.a.w adalah seorang Arab. Bahasa Al-Quran adalah bahasa Arab dan dikatakan bahasa syurga adalah bahasa Arab. Mengapa Rasulullah tidak perjuangkan Arab?

Kita lihat dua insan yang berlainan bangsa dalam sejarah Islam dan lihat siapa yang mulia antara mereka berdua. Kita lihat Abu Lahab dan isterinya Ummu Jamil dan kita lihat pula sahabat Rasulullah Bilal bin Rabah r.a.

Abu Lahab dan isterinya satu bangsa dan satu keturunan dengan Rasulullah s.a.w. Dalam istilah moden sekarang kedua-dua pasangan ini adalah pasangan selebriti. Apa yang tiada pada mereka? Mereka ada rupa paras yang cantik, ada kekayaan material, ada kedudukan yang tinggi dalam masyarakat, ada pengikut dan ada pengaruh dan status yang tinggi.. Namun kita tahu kedua-dua insan ini dicela oleh Allah dan ada surah khas dalam Al Quran untuk mereka yang kita baca dan cela mereka sehingga kini.

Kita lihat pula Bilal r.a. Orangnya berkulit gelap dan bekas seorang hamba abdi. Tiada harta dan tiada kekayaan. Tiada rupa paras jauh sekali status dalam masyarakat Arab. Namun sehingga kini nama Muazzin di dunia memakai gelaran Bilal seorang berbangsa Habsyi. Lihat betapa mulianya Bilal r.a

Menyayangi bangsa adalah fitrah. Tapi memperjuangkan bangsa tanpa mengira bangsa itu zalim atau tidak adalah asabiyyah yang Islam tentang habis-habisan.

Kita tahu fahaman asabiyyah dan qaumiyyah Arab jahiliyyah begitu kuat . Ideologi mereka adalah tolong kaum kami sama ada kaum kami zalim atau dizalimi.

Sebab itu dalam sebuah hadith Rasullullah menyatakan “tolonglah saudaramu yang zalim atau yang dizalimi (mazluman)". Para sahabat terasa pelik kenapakah Rasullullah menyuruh ditolong mereka yang zalim. Secara zahirnya perintah Rasullulah itu dilihat seperti ideology Arab jahiliyyah.

Tapi itulah cara Rasulullah s.a.w membetulkan fahaman salah itu. Menolong orang yang zalim, kata Rasullullah s.a.w adalah dengan kita menghentikan kezaliman mereka. Bukan dengan menyokong sizalim. Lihatlah anjakan paradigm yang Rasullullah s.a.w perkenalkan.

Ini yang perlu Melayu faham termasuk cerdik pandai Melayu. Menolong Melayu Umno yang zalim, salah guna kuasa, rasuah bukan dengan terus menerus menyokong mereka. Itu sokong bawa rebah. Tolong Umno yang zalim adalah dengan menghentikan kezaliman Umno – hentikan kuasa mereka memerintah.

Amat malang orang Melayu termasuk cerdik pandai Melayu menyayangi Melayu dengan cara yang salah. Mereka sayang Melayu dengan biarkan pemimpin Melayu Umno yang zalim, rasuah dan salah guna kuasa terus dengan kezaliman mereka. Ini sokong bawa padah di dunia dan akhirah.


* Penulis adalah anggota Parlimen Sepang, AJK PAS Pusat serta seorang peguam.

Hrkhdaily

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...