Rakyat Untuk Rakyat. Headline Animator

09 November 2012

AIC: Cabar Anwar Bertanding Di Pekan, Bukti Umno Bankrap Isu


Kelab Anwar Ibrahim (AIC) memandang sinis cabaran yang dilontarkan oleh seorang pimpinan Umno Bahagian yang mencadangkan agar Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding di Parlimen Pekan sebagai satu pelawaan yang melucukan serta bankrap isu.

Cabaran yang tidak realistik itu dilihat sebagai tidak memahami politik sebenar, semberono dan tidak berfikiran jauh.

AIC melihat kenyataan dan cabaran oleh Ketua Umno Bahagian Cheras, Datuk Wira Syed Ali Alhabshee sebagai jauh dari kematangan berpolitik dan wajarlah dipandang sepi.


Malah Syed Ali juga menuduh Anwar berniat membunuh karier politik Datuk Seri Abdul Hadi Awang, dengan mencabar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bertanding di Marang.

Sedangkan , secara simboliknya jika benar sekalipun cabaran itu adalah untuk menunjukkan betapa Najib harus membuktikan kepimpinan beliau diterima di seluruh negara dengan kesediaan bertanding di mana-mana kerusi pun.

AIC percaya sebagai seorang Perdana Menteri, seharusnya Najiblah yang berani untuk bertanding di mana-mana kerusi Parlimen sebagai bukti segala dasar dan “tranformasi” yang beliau canangkan tidak kosong dan diterima ramai.

Najib mempunyai ruang yang cukup besar untuk berkempen di televisyen dan akhbar perdana, serta mudah pula untuk mengakses segala kemudahan kerajaan seperti bantuan agensi kerajaan tapi belum cukup berani untuk keluar dari zon selesa di Pekan.

Seharusnya Syed Ali sebagai pemimpin kecil dalam Umno berasa malu atas keengganan Najib berdebat dalam isu kenegaraan yang melibatkan kepentingan rakyat secara keseluruhan.

Najib juga gagal hadir ketika perbahasan Bajet 2013 di Parlimen, sebagai satu contoh bahawa Perdana Menteri itu lemah, tidak fokus dan tidak mempunyai keupayaan memimpin disaat ekonomi tidak stabil dan hutang negara mencecah ratusan bilion ringgit.

Keseronokkan pimpinan Umno seperti Syed Ali melontarkan cabaran-cabaran populis adalah cerminan bahawa Umno tidak pernah serius dalam membela nasib dan masa depan rakyat.

Cabaran yang dilontarkan adalah bertujuan mengalih pandangan umum terhadap skandal penyelewengan yang didedahkan oleh Pakatan Rakyat , termasuk faktor tambah sambutan hebat yang diterima oleh Anwar dalam siri Jelajah Merdeka Rakyat ke seluruh negara dan kesediaan rakyat mengangkat Ketua Umum KEADILAN itu sebagai Perdana Menteri yang baru.

Umno telah bankrap isu untuk dimainkan, dan mereka beranggapan masyarakat kini terlalu bodoh untuk mengukur keupayaan mereka. AIC berasa terpanggil untuk mengulas cabaran ini kerana kami yakin, terlalu banyak isu-isu dasar yang diabaikan oleh pemerintah sekarang dan terus menjerumuskan Malaysia ke arah kehancuran.

Justeru AIC melihat cabaran bodoh seperti ini akan berterusan dengan harapan sekerat dua rakyat akan termakan dengan umpan mereka, namun AIC optimis rakyat terutamanya golongan muda begitu teruja untuk menghumban parti antik seperti Umno dan pimpinannya ini ke tepi demi membina kembali negara yang lebih bermaruah dan mengangkat darjat rakyat.

GENERASI PENGGERAK ZAMAN
Saifuddin Shafi Muhammad
Presiden AIC

Keadilandaily

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...